Tiada pelajar Sekolah Integriti, Henry Gurney keciciran terima pendidikan terbaik

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TELOK MAS 22 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan pendidikan pelajar di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney tidak dipinggirkan dan mendapat akses pendidikan terbaik termasuk ko-kurikulum dan kurikulum.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihaknya akan terus memberikan komitmen dalam memastikan segala akses kemudahan diutamakan dalam menyalurkan pendidikan berkualiti kepada pelajar sekolah terbabit.

Katanya, antara jaminan akses yang diperoleh pelajar terbabit adalah mereka akan menduduki saringan literasi dan numerasi selain ditempatkan dalam satu daripada lima kluster iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agama , seni atau budaya dan sukan.

“Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney menjadi keutamaan KPM dalam memberikan akses pendidikan kepada anak-anak, jadi jaminan ini mereka tetap akan dapat di mana sahaja mereka berada termasuk mereka yang berada di sekolah berkenaan.

“Banyak manfaat yang mereka dapat daripada KPM bukan sahaja dalam mendapatkan pendidikan arus perdana malah dalam konteks kurikulum dan ko-kurikulum termasuk penglibatan dalam sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Hijrah Kasih ke-14 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Mengulas lanjut, beliau berkata sistem pendidikan negara terbukti berkesan apabila ramai pelajar di sekolah berkenaan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik

Katanya, seramai 86 calon yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2022, lima daripada mereka memperoleh keputusan 5A ke atas malah sekolah-sekolah berkenaan turut memperoleh kelulusan 100 peratus.

“Sebab itu saya minta Timbalan Menteri Belia dan Sukan hadir sama untuk melihat potensi anak-anak ini, maknanya dengan kejayaan mereka dalam peperiksaan, ada yang memperoleh 9A, 8A atau 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki institut pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Fadhlina berkata, jaminan daripada segi tenaga pengajar juga dititik-beratkan meskipun wujud kekurangan guru di kedua-dua sekolah berkenaan.

“Setakat ini kekurangan itu memang ada tetapi kita akan tambah dari semasa ke semasa dan proses itu berlangsung sepanjang tahun,” katanya.

Sehingga kini,  seramai 83 guru jumlah guru yang ditempatkan di lapan buah Sekolah Integrasi dan tiga Sekolah Henry Gurney di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post Kerajaan Perpaduan Melaka boleh jadi contoh – KM
Next post Kerajaan Melaka berada pada landasan tepat – Adly
Ubah saiz-+=