Kerajaan Perpaduan Melaka boleh jadi contoh – KM

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

SERI BENDAHARA 22 Mac – Kebersamaan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk Kerajaan Negeri mampu menjadikan Melaka sebagai negeri contoh jika dikemudi tanpa prasangka dan perselisihan pandangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil daripada nilai kebersamaan itu mampu mengembalikan kegemilangan Melaka seperti mana yang pernah dicipta dalam lakaran sejarah.

Beliau berharap, nilai itu perlu diperkukuhkan kerana perpaduan yang dibentuk bukan sahaja membawa manfaat kepada rakyat malah mampu menjadi rujukan negeri lain seperti mana Kerajaan Negeri yang ditadbir telah diterajui dengan lebih baik.

“Saya terharu dengan kebersamaan yang dibentuk selama ini, sepanjang setahun saya mengolah Melaka ini sudah pasti ada kekurangannya dan saya memerlukan bantuan kepada semua wakil rakyat Kerajaan Perpaduan di negeri ini untuk bersama-sama memberikan tambah nilai yang lebih baik.

“Kalau kita membawa pentadbiran ini tanpa rasa prasangka saya rasa kita boleh pergi jauh kerana perpaduan yang kita kukuhkan ini bukan sekadar membawa manfaat kepada rakyat Melaka tetapi di negara ini.

“Saya memohon kepada semua sahabat-sahabat (wakil rakyat) untuk mengukuhkan lagi kebersamaan ini kerana bukan senang untuk mengemudi sebuah negeri, banyak rintangan, halangan dan cabaran yang amat besar.

“Tetapi dengan keazaman dan kecekalan semua membina kerajaan ini, Insyallah rakyat Melaka pasti dapat limpahannya dan inilah Kerajaan Perpaduan yang akan menjadi contoh kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Moreh Bersama Pemimpin Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka di kediamannya di Seri Bendahara, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Adly Zahari; Pengerusi MCA negeri, Datuk Lim Ban Hong; Pengerusi MIC Negeri Melaka, VP Shanmugam; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Mohd Rafee Ibrahim; Pengerusi Parti Amanah negeri, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat serta tetamu lain.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Melaka berkata, keterlibatan kesemua parti yang ada di dalam Kerajaan Negeri mempunyai peranan masing-masing untuk mengemudi Negeri Melaka.

Katanya, meskipun terdapat isu dibangkitkan yang menimbulkan pandangan yang berbeza, namun sikap hormat-menghormati itu perlu menjadi benteng penting dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang dibina selama setahun itu.

“Seperti isu stoking yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhamad Akmal Saleh, saya tak marah apa yang (Akmal) cakap kerana dia adalah pemimpin di peringkat nasional, kita seharusnya menghormati rakan-rakan dalam sebuah kerajaan ini.

“Kita semua kaum ada hak istimewa masing-masing dan inilah kontrak sosial yang kita miliki…kita perlu meneruskan perjuangan kita untuk membangunkan Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal, OKU, warga emas terharu keprihatinan Ketua Menteri
Next post Tiada pelajar Sekolah Integriti, Henry Gurney keciciran terima pendidikan terbaik
Ubah saiz-+=