Kerajaan Melaka berada pada landasan tepat – Adly

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

SERI BENDAHARA 22 Mac – Kerajaan Negeri Melaka yang dibentuk daripada kebersamaan Kerajaan Perpaduan berada pada landasan yang betul demi kemajuan dan pembangunan negeri yang akan membawa pulangan kepada rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari berkata, nilai perpaduan yang membentuk kestabilan politik menjadi tunjang kepada Kerajaan Negeri meskipun pelbagai cabaran perlu dihadapi lebih-lebih lagi selepas pulih daripada pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, kerajaan yang dibentuk itu dapat menjadi contoh bahawa melalui kestabilan politik, pelbagai perancangan untuk rakyat dapat dilaksanakan dengan mudah.

“Menerusi kerajaan PH dan Barisan Nasional (BN) yang dibentuk ini kita dapat mendepani negara kita, saya fikir Melaka merupakan antara negeri yang berada pada landasan yang betul.

“Berbanding negeri lain, ada negeri kadang-kadang bukan sahaja nak buat pembangunan tetapi baru merancang pun tidak habis merancang lagi, ada syok merancang saja tapi benda apa pun tak buat lagi.

“Walaupun kita lihat aspek pelancongan seperti Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), pengangkutan dan pendidikan antara cabaran yang kita hadapi selepas COVID-19, kita memerlukan anjakan dari segi pemikiran dan semangat kebersamaan kita dan ini adalah cabaran yang cukup besar dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Moreh Bersama Pemimpin Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka di kediaman Ketua Menteri, Seri Bendahara, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf; Pengerusi MCA negeri, Datuk Lim Ban Hong; Pengerusi MIC negeri, VP Shanmugam; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Mohd Rafee Ibrahim; Pengerusi Parti Amanah negeri, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat serta tetamu lain.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil berkata, demi mengukuhkan hubungan itu, isu sensitif khususnya membabitkan umat Islam merupakan suatu perkara yang perlu diurus dan diselesaikan dengan lebih baik.

Katanya, bernaung di bawah satu bumbung, setiap daripada ahli parti tidak boleh mempunyai prasangka sesama sendiri yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada ikatan yang terjalin.

“Kita tidak perlu ada prasangka sesama kita kerana masing-masing ada kelemahan dan kekuatan, jadi manfaatkan perkara itu dengan kerjasama yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan ini.

“Kalau kita mahu Melaka ke hadapan dengan lebih maju, kestabilan politik adalah teras yang perlu didepani agar pulangan ini akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

920
Kongsi :
Previous post Tiada pelajar Sekolah Integriti, Henry Gurney keciciran terima pendidikan terbaik
Next post Kestabilan politik tunjang kemajuan Melaka
Ubah saiz-+=