Tidak bersih, tiga kilang proses makanan di Jasin diarahkan tutup

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 3 Oktober – Tiga kilang memproses makanan di Jasin, diarahkan tutup manakala 58 lagi dikenakan kompaun selepas didapati tidak mematuhi tahap kebersihan ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) susulan pemeriksaan menerusi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, arahan penutupan kilang memproses taufu, aiskrim dan susu tepung itu adalah mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Sementara itu 58 kompaun berjumlah RM47,350 pula dikeluarkan dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Manakala 10 kompaun berjumlah RM25,000 dikeluarkan terhadap kilang memproses mi, taufu, susu tepung ais krim serta yogurt dibawah Peraturan 9 kerana tidak mematuhi PJKM.

“Jadi pengusaha kilang makanan dinasihatkan supaya mendapatkan persijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) bagi memastikan produk mereka selamat dan tidak menyebabkan kemudaratan kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

WhatsApp Image 2022-10-03 at 4.11.18 PM
PEGAWAI Jabatan Kesihatan Negeri melakukan pemeriksaan di salah sebuah kilang di Jasin.

Dr Rusdi berkata, selaras dengan kehendak Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dibawah Peraturan 9 yang mewajibkan setiap pemilik premis pengilangan makanan menyedia dan mengadakan satu PJKM.

Pemeriksaan terhadap 73 kilang memproses makanan itu turut membabitkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3366
Kongsi :
Previous post Pelajar Madrasah ditemukan lemas di Langkawi
Next post Air mata kegembiraan sambutan kepulangan ejen produk kosmetik yang diculik
Ubah saiz-+=