Tidak menyesal berhenti belajar – Muhd Sharifuddin
MERLIMAU 20 Ogos – Meskipun hasrat anak muda untuk bergelar pendidik tidak kesampaian, namun dia mampu tersenyum bangga kerana dalam tempoh setahun, mampu menjadi pengusaha ladang nenas MD2 yang berjaya.
Itu dialami Muhd Sharifuddin Murad, 23 yang tidak menyangka dia bergelar pengusaha ladang pada usia muda selain mampu menggaji lima orang pekerja.
Ujarnya, segala-galanya bermula dari bawah selepas dia menyahut cabaran pakcik saudaranya yang mahu dia bergelar peladang.
“Lepas tamat Tingkatan Enam, saya terfikir untuk melanjutkan Ijazah Sarjana Muda dan mahu menjadi guru namun pakcik saudara beri cadangan pada saya, ‘tak payah sambung belajar, Din, buka ladang nenas’.
“Dua tiga kali juga saya memikirkan kata-katanya, namun akhirnya saya sahut cabarannya.
“Saya tidak pernah menyesal kerana industri pertanian boleh pergi jauh, jika kita bersungguh-sungguh melakukannya,” katanya yang memiliki empat ekar ladang nenas tersebut di Kampung Chinchin Hulu.
Berikutan itu, katanya dia menimba ilmu di ladang nenas milik pakcik saudaranya di Changlun, Kedah selama sebulan sebelum meminta bantuan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM).
“Dari situ, LPNM bantu dari segi latihan termasuk kursus latihan tiga hari dua malam di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai kaedah penanaman nenas,” katanya.
Muhd Sharifuddin kini mampu berbangga dengan hasil titik peluh sendiri apabila hasil pertama sejak mengusahakan nenas pada Mac tahun lalu mampu terjual sebanyak lapan tan nenas.
“Hasil pertama ini saya banyak jual di pasar dan ada juga menjalankan perniagaan atas talian dengan mengambil tempahan daripada guru di sekolah,” katanya.
Mengulas lanjut, anak bongsu daripada tiga beradik ini berkata, dia semakin serius untuk meneruskan bidang penanaman nenas ini, meskipun pelbagai cabaran dihadapi termasuk dari segi persaingan dan kekurangan modal.
Ujarnya, meskipun bimbang dengan persaingan agak tinggi namun melihatkan ramai kenalan yang memiliki kerjaya seperti jurutera dan pegawai bank sanggup berhenti kerja menyebabkan dia terus menanam tekad untuk meneruskan penanaman itu sehingga berjaya.
“Saya juga ada mengutarakan hasrat saya kepada Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali untuk menyalurkan bantuan dana bagi mengusahakan penanaman nenas di Johor dengan tanah seluar 12 ekar.
“Bantuan dari segi pembukaan gerai buah nenas di kawasan ladang juga akan diberi perhatian ketika beliau melawat ladang saya baru-baru ini,” katanya.