MPAG, MPJ disaran tubuh unit keselamatan barisan hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PENGKALAN BATU 20 Ogos – Kerajaan negeri mencadangkan Unit FRONT (First Response Team) seperti yang ditubuhkan Majlis Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB) perlu diperluaskan di semua peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, penubuhan unit keselamatan barisan hadapan itu wajar ditubuhkan di setiap PBT dan menyeru Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) melaksanakan perkara berkenaan.

Jelasnya, Unit FRONT yang ditubuhkan MBMB mampu bertindak sebagai sokongan dalam melaksanakan kerja-kerja bantuan kecemasan membabitkan pelbagai aspek logistik, kepakaran dan kebajikan.

“Setakat ini dua unit sama telah ditubuhkan di PBT negeri ini iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Penubuhan ini merupakan salah satu usaha PBT bagi memberi inisiatif menambah baik dan meningkatkan mutu perkhidmatan secara berterusan khususnya dalam daerah masing-masing.

“Penubuhan Unit FRONT MBMB ini tidak akan mengganggu peranan agensi keselamatan sedia ada seperti pasukan polis, bomba, petugas kesihatan dan jabatan pertahanan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Unit FRONT di Peringgit, kelmarin.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu.

Jelas Ghafaar, unit yang ditubuhkan dengan tenaga 21 anggota sejak setahun lalu itu telah didedahkan dengan pelbagai latihan termasuk mengendalikan mesin-mesin berkaitan kecemasan sekali gus mampu memberi kerjasama antara polis, bomba, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan jabatan pertahanan awam dalam menguruskan situasi berkaitan kecemasan.

“Sejak ia ditubuhkan, sebanyak 1,991 kes kecemasan telah diselesaikan yang merangkumi 62 peratus daripada 3,213 tugasan yang dilaksanakan sepanjang tahun 2019.

“Selain kerja-kerja kecemasan, bantuan keselamatan juga dicurahkan unit ini membabitkan bantuan cantasan dahan pokok, rondaan berkala, pembaikan kecil harta awam dan pemantauan kerosakan jalan dan selebihnya adalah tugas-tugas melibatkan kebajikan dan bencana.

“Malah, insiden ribut yang melanda Melaka Tengah baru-baru ini juga telah dibantu unit ini, dan mereka perlu diberi penghargaan kerana sanggup bertugas sehingga malam demi memastikan keadaan aliran trafik di Melaka lancar,” katanya.

Views:

491
Kongsi :
Previous post Suami maut, isteri parah motosikal dirempuh
Next post Tidak menyesal berhenti belajar – Muhd Sharifuddin
Ubah saiz-+=