Tiga lelaki ditahan bantu siasatan kes tetak pengarah eksekutif PHEB

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

GEORGE TOWN 28 Julai – Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kejadian menetak Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) Datuk M.Ramachandran di rumahnya di Taman Alma, Machang Bubok, dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua mereka yang berusia 45 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar kawasan Seberang Perai, dekat sini, tiga hari selepas kejadian.

“Secara keseluruhan, seramai 14 saksi kejadian telah direkodkan keterangan dan tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian serang dan tetak membabitkan lelaki warga emas berusia 70 tahun tersebut.

“Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian sama ada ia (kejadian) mempunyai kaitan dengan PHEB itu pun kita sedang siasat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

KETUA Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri) pada sidang media. Foto – Facebook IPK Pulau Pinang.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 7 malam itu, Ramachandran cedera parah di bahagian leher, peha, belakang kepala serta badan selepas diserang empat lelaki menggunakan senjata tajam ketika turun dari keretanya dan mahu masuk ke dalam rumah.

Ramachandran dihantar ke Hospital Bukit Mertajam sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta di sini untuk pembedahan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Terdahulu, pada sidang akhbar itu, Mohd Shuhaily berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menerima sumbangan 500 bakul makanan daripada Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) untuk diagih kepada keluarga yang memerlukan di sekitar negeri ini susulan pandemik COVID-19.

Beliau berkata sumbangan diserahkan Pengerusi CCPSS Datuk Anil Shah Abdullah dengan barangan tersebut akan diagihkan secara berfasa dari semasa ke semasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

818
Kongsi :
Previous post ‘Nak dapat RM10 sehari pun susah’
Next post Doktrin palsu agama Islam: Ibu Yati, dua individu mengaku tidak bersalah
Ubah saiz-+=