Tiga pemimpin tertinggi BN tiba di Istana Negara

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Istana Negara pagi ini, untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan berwarna putih dinaiki Ahmad Zahid memasuki Istana Negara melalui pintu dua pada kira-kira 10.45 pagi, sejurus selepas kenderaan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hassan tiba pada 10.40 pagi.

Turut kelihatan masuk melalui pintu sama ke Istana Negara ialah kenderaan membawa Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada 10.30 pagi ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ia lanjutan daripada sesi menghadap baginda oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, petang semalam.

Terdahulu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dilihat masuk ke Istana Negara melalui pintu sama.

Turut kelihatan tiba di Istana Negara kira-kira 11.10 pagi adalah konvoi kenderaan wakil parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) antaranya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Kemelut berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlanjutan memasuki hari keempat selepas tiada gabungan parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lepas bagi membentuk kerajaan.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2011
Kongsi :
Previous post PDRM laksana SJR di lokasi strategik seluruh negara
Next post 4 lokasi SJR di Melaka pantau keselamatan
Ubah saiz-+=