Tiga persatuan nelayan tidak menentang KLIP

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 29 Ogos – Nelayan di perairan Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi dan di Telok Kemang, Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Kuala Linggi tidak menentang projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) tetapi menuntut kepentingan mereka diberikan perhatian sewajarnya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mengesahkan perkara itu selepas berdialog dengan Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB) yang mewakili 255 nelayan berdaftar di kawasan berkenaan.

Selain itu, komitmen berkenaan juga dilahirkan Persatuan Nelayan Negeri Sembilan (PNNS) melalui Pengerusinya, Abu Bakar Dawam yang turut serta dalam dialog yang dihadiri Pengerusi PNKMB, Mazelan Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka (PNM), Othman Ahmad di pejabat PNKMB di Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Beliau berkata, pada dasarnya, nelayan tidak menentang projek berkenaan kerana memahami ia adalah sebahagian daripada kemajuan negeri ini tetapi mereka menuntut kerajaan negeri dan syarikat pemaju projek tidak mengetepikan kepentingan nelayan apabila projek itu dimulakan.

“Saya difahamkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), kesan sosial dan kesan terhadap sumber perikanan masih belum dibuat, apatah lagi disiapkan.

“Bagaimanapun, nelayan komited untuk tidak menentang projek itu jika pelbagai aspek yang dituntut oleh mereka, terutama pampasan kepada mereka mampu dipenuhi syarikat pemaju,” katanya pada sidang media selepas program itu.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Othman Latiff dan Timbalan Pengarah UPEN Melaka, Yusof Abu Bakar.

Beliau berkata, setakat ini kementerian itu sudah memberi pandangan mengenai projek berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan ketika perbincangan Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) diadakan pada tahun lalu.

“PNKMB dan dua lagi persatuan itu mendakwa setakat ini mereka tidak pernah dijemput menghadiri sebarang perbincangan sama ada oleh kerajaan negeri atau syarikat pemaju KLIP dan mereka mahu pandangan mereka diambil kira,” katanya.

Terdahulu, ketika berdialog, Mazelan berkata, KLIP bakal memusnahkan habitat ikan di perairan Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, sekali gus mengancam sumber pendapatan nelayan.

Abu Bakar berkata, projek berkenaan akan turut menjejaskan operasi penangkapan ikan nelayan di Negeri Sembilan, terutama nelayan Telok Kemang yang bersempadan dengan Kuala Linggi.

Julai lalu, Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Kamal Yahya dilaporkan berkata, KLIP yang bernilai RM15 bilion akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan dan mengambil tempoh antara lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar sebelum dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan yang memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa.

Katanya, kerja menambak laut kira-kira lima batu nautika dari tanah besar akan dilaksanakan Linggi Base Sdn Bhd (LBSB), selain membina tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.

Syarikat sedia ada miliknya, TAG Marine Sdn Bhd di Kuala Linggi berpengalaman luas dalam memberikan perkhidmatan kepada 8,000 kapal yang berlabuh di persisiran pantai sepanjang 16 tahun dan beliau akan membina pelabuhan bertaraf antarabangsa yang bakal memajukan ekonomi Kuala Linggi dan Melaka secara keluruhannya, katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian perunding projek itu dari Rotterdam, Belanda, pembinaan KLIP menyediakan pekerjaan kepada 115,000 pekerja, termasuk penduduk tempatan dan apabila siap, ia menyediakan pekerjaan kepada 6,000 orang.

Views:

682
Kongsi :
Previous post 30 peratus rakyat tempatan wajib dibabitkan dalam projek pembangunan
Next post ‘One Stop Center’ untuk IKS
Ubah saiz-+=