30 peratus rakyat tempatan wajib dibabitkan dalam projek pembangunan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LINGGI 29 Ogos – Kerajaan negeri mewajibkan 30 peratus rakyat tempatan dibabitkan dalam projek pembangunan di negeri ini bagi memberi peluang kepada mereka menikmati kemajuan ekonomi.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Yusof Abu Bakar berkata, dasar berkenaan sudah dipraktikkan sejak sekian lama dan ia dipatuhi syarikat pelaburan tempatan dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion di Kuala Linggi, dekat sini akan turut memberi peluang kepada 30 peratus rakyat tempatan untuk berkhidmat dengan syarikat berkenaan.

“Perlu ada mekanisme khusus untuk kita melihat sejauh mana dasar itu dipatuhi,” katanya ketika berdialog dengan nelayan di pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat (PNKMB), di Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Beliau menyertai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berdialog dengan 255 ahli PNKMB yang diketuai Pengerusinya, Mazelan Abu Bakar dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan (PNNS), Abu Bakar Dawam serta Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka (PNM), Othman Ahmad.

Yusof menjawab soalan nelayan mengenai peluang pekerjaan yang disediakan KLIP kepada anak tempatan.

Beliau berkata, sebelum KLIP dilaksanakan, kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), kesan sosial dan kesan terhadap sumber perikanan perlu dibuat dan semua pihak, termasuk persatuan nelayan akan turut dibabitkan dalam kajian itu.

“Kita akan memanggil syarikat pemaju, wakil nelayan, pasukan teknikal dan seumpamanya untuk duduk berbincang sebelum projek itu dijalankan.

“Projek itu sudah diluluskan pada dasarnya kerana sebelum ini kita menghadapi kekangan sempadan perairan negeri kita dengan negeri jiran tetapi ia sudah diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta nelayan memberi peluang kepada UPEN untuk memastikan semua kajian berkenaan disiapkan pihak bertanggungjawab sebelum KLIP dilaksanakan.

Views:

335
Kongsi :
Previous post Kempen Beli Barangan Malaysia akan rangsang semula ekonomi negara
Next post Tiga persatuan nelayan tidak menentang KLIP
Ubah saiz-+=