Sorting by

×

TIGA TABIKA TUNAS ISTIMEWA DI MELAKA, LAMBANG KASIH SAYANG UNTUK ANAK AUTISME

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Ogos – Penubuhan tiga Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Tunas Istimewa di Melaka menjadi manifestasi lambang kasih sayang dan keadilan sosial yang dibawa Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, istimewanya Melaka diberi pengiktirafan apabila menjadi negeri perintis penubuhan tabika khusus untuk anak istimewa itu, sekali gus mengangkat suara dan harapan keluarga yang sekian lama menanti tempat untuk anak-anak mereka diterima, dibimbing dan dihargai.

Jelas Ketua Menteri, bagi fasa pertama tiga TABIKA KEMAS Tunas Istimewa yang dibangunkan di negeri ini adalah TABIKA KEMAS Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara; TABIKA KEMAS Hang Jebat, Taman Krubong Jaya dan TABIKA KEMAS Merlimau Barat 2, di mana ia membabitkan seramai 23 anak istimewa di negeri ini.

“Ini bukan sahaja satu pengiktirafan besar kepada negeri kita, malah satu tanggungjawab besar untuk memastikan pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas, khususnya yang berada dalam spektrum autisme, mendapat tempat yang sewajarnya.

“Kita tidak mahu lagi ibu bapa, khususnya di luar bandar, berasa terpinggir atau berputus asa kerana kurangnya akses kepada pendidikan khas yang berkualiti.

“Penubuhan TABIKA Tunas Istimewa ini adalah jawapan kepada keresahan mereka, dan satu bentuk intervensi awal yang sangat penting dalam menyokong pertumbuhan intelek, emosi dan sosial anak-anak istimewa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS di Tabika Tunas Istimewa, Ayer Hitam Pantai yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri Melaka akan terus melangkah ke hadapan dengan dasar yang inklusif, seimbang dan menyeluruh bagi memastikan tiada siapa tertinggal dan dipinggir.

Justeru, beliau meminta ibu bapa yang mempunyai anak istimewa agar jangan malu, jangan tangguh untuk mendaftarkan anak-anak yang berkeperluan khas agar mereka tidak tercicir daripada sistem sokongan dan pendidikan yang dibina.

“Kita harus hapuskan stigma. Kanak-kanak autisme bukan kes terpencil, tetapi sebahagian daripada komuniti besar yang menunggu peluang untuk menyerlah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

394
Kongsi :
Previous post WRUR SEMAKIN DIRASAI RAKYAT
Next post MELAKA PERMULAAN ‘GAME CHANGER’ KKDW PERKASA PENDIDIKAN ANAK ISTIMEWA