TNB Melaka siap siaga hadapi musim banjir

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 30 November – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Melaka memulakan persiapan rapi bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka akan berlaku pada setiap hujung tahun.

Pengurus Besar Negeri (Melaka) Jabatan Strategic Engagement Bahagian Regulatory dan Stakeholder Management TNB Khairizam Ibrahim berkata, pihaknya telah menggariskan beberapa langkah untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Antara langkah yang diambil ialah memastikan warga kerjanya sentiasa bersiap sedia, selain menggiatkan siri-siri kempen keselamatan pepasangan TNB di musim banjir kepada penduduk.

“Apabila berlaku banjir di sesuatu kawasan, TNB juga perlu segera mematikan bekalan untuk mengelakkan berlakunya kes-kes renjatan elektrik. Oleh itu kita nasihatkan orang ramai yang diarah berpindah untuk mengikut arahan yang diberikan pihak berkuasa.

“Kita juga akan kerap melakukan rondaan sewaktu banjir bagi memastikan pepasangan dalam keadaan baik dan pada masa sama, kita juga akan memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) mempunyai bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi.

“Di samping itu, TNB juga akan bersedia untuk menyediakan generator mudah alih sekiranya diperlukan di kawasan-kawasan tertentu, termasuk PPS itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi Networking Hi-Tea Bersama Pengamal Media Negeri Melaka di sebuah hotel di sini.

IMG_20221129_224455_899
AYER KEROH 30 November – Pengurus Besar Negeri (Melaka) Jabatan Strategic Engagement Bahagian Regulatory dan Stakeholder Management TNB Khairizam Ibrahim beramah mesra bersama wakil pengamal media sempena Majlis Sesi Networking Hi-Tea Bersama Pengamal Media Negeri Melaka di Ayer Keroh, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Khairizam berkata, sebelum tibanya musim banjir, pihak TNB turut giat menjalankan kerja-kerja meninggikan pencawang di beberapa lokasi hotspot banjir bagi mengelakkan ia dinaiki air dan menyebabkan kerugian besar.

Katanya, setakat ini tiga pencawang membabitkan kawasan Taman Merdeka dan Sungai Putat (Daerah Melaka Tengah) serta Brisu di Alor Gajah telah dinaik taraf.

“Apa yang kita lakukan ialah kita meninggikan pencawang dengan cara menambah konkrit dan simen di pencawang yang terlibat. Insya-Allah ada dua lagi pencawang akan kita lakukan kerja yang sama pada tahun depan.

“Perkara ini perlu dilakukan kerana sekiranya pencawang dinaiki air hingga melepasi ke bahagian penting seperti alat suis, ia boleh menyebabkan kerugian besar mencecah RM50,000 bagi satu pencawang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2768
Kongsi :
Previous post Pemasangan ‘smart meter’ di Melaka sudah capai 92 peratus – TNB
Next post UTeM lakar kegemilangan sepanjang 22 tahun
Ubah saiz-+=