TNB sasar 380,000 meter pintar di Melaka tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 24 Dis. – Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyasarkan 380,000 unit meter pintar di pasang di negeri ini menjelang Jun tahun hadapan supaya lebih ramai pengguna mendapat manfaat daripada meter berkenaan.

Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Melaka Bahagian Retail, Khairizam Ibrahim berkata, ketika ini, kira-kira 91 peratus atau 340,000 kediaman di negeri ini telah dilengkapi meter pintar berkenaan.

“Bakinya, iaitu sembilan peratus membabitkan sekitar 40,000 kediaman lagi dijangka akan dipasang meter pintar ini dalam tempoh enam bulan lagi.

“Ketika ini, kita tidak mendapat halangan pengguna untuk memasang meter terbabit namun terdapat beberapa kekangan seperti penghuni tiada di rumah untuk pemasangan,” katanya pada Sesi Ramah Mesra TNB Bersama Media Melaka di Menara TNB di sini semalam.

Khairizam sehubungan itu turut meminta pengguna di Melaka yang masih belum membuat penukaran meter pintar memaklumkan kepada TNB untuk menggantikan meter sedia ada yang sudah berusia lebih 15 tahun.

“Selain ketepatan bacaan, penggunaan meter pintar juga lebih mudah apabila kadar penggunaan boleh dipantau secara harian melalui aplikasi telefon bimbit myTNB.

“Penggunaan aplikasi ini juga memudahkan pembayaran bil di samping dapat mendidik mereka mengenai penjimatan tenaga,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata operasi di ibu pejabat TNB Melaka akan berpindah sepenuhnya dari Banda Kaba di Banda Hilir ke Menara TNB di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) berkuatkuasa 4 Januari ini.

“Bagaimanapun dalam tempoh peralihan ini, kita masih meletakkan kakitangan di TNB Banda Kaba serta kios pembayaran layan diri untuk memudahkan urusan pelanggan sehingga 30 Jun tahun depan.

“Jadi tidaklah nanti pelanggan terkejut apabila pejabat di Banda Kaba tutup kerana kita memberi tempoh selama enam bulan untuk memaklumkan kepada mereka,” katanya.

Views:

741
Kongsi :
Previous post Remaja 18 tahun maut motosikal rempuh belakang lori
Next post Terkejut ular bertaring menjalar atas perut
Ubah saiz-+=