Terkejut ular bertaring menjalar atas perut

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

Alor Gajah: “Anak perempuan saya kata, dia berasa sejuk di atas perut dan apabila diraba dirasakan sesuatu yang lembik dan bergerak-gerak.

“Makcik hanya tahu ianya adalah ular selepas Nurul Atikah Ismail, 31, menjerit ketakutan mengatakan ada ular menjalar di perutnya,”.

Demikian kata warga emas, Rohana Jaafar, 63, menceritakan detik cemas anak perempuannya itu yang terselamat daripada dipatuk ular bertaring jenis Tiung Cincin Emas, di rumahnya di Kampung Ulur, Sungai Buluh, di sini, kira-kira jam 3.40 pagi tadi.

ULAR Tiung Cincin Emas

Menurutnya, pada mulanya dia memikirkan anak perempuannya mengigau akibat kepenatan baru pulang bekerja di Kuala Lumpur dan bergegas pergi memeriksa di biliknya.

“Sebaik lampu dibuka, ular itu menyusur ke kakinya menyebabkan Nurul menangis ketakutan.

“Dalam keadaan cemas itu, saya terus menelefon anak saudara di sebelah rumah untuk meminta bantuan,” katanya dihubungi di sini.

Rohana berkata, anak saudaranya, Azman Hasan, 40, kemudian datang membantu sebelum dia turut menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah.

“Azman menghalau ular itu menggunakan kayu dan sejurus Nurul berjaya keluar, dia terus mengunci bilik tidur itu dan menunggu sehingga anggota APM tiba,” katanya yang masih trauma dengan kejadian cemas itu.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Aljibin Suddin berkata seramai empat anggota APM ditugaskan melakukan operasi menangkap reptilia itu sejurus menerima panggilan jam 3.51 pagi.

Katanya, anggotanya terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum dapat memasuki bilik yang berkunci untuk menangkap ular spesies Tiung Cincin Emas yang agak jarang ditemui dan aktif pada waktu malam.

“Ular itu berlingkar di atas besi langsir dan cuba keluar melalui lubang angin namun berjaya ditangkap sebelum ia dilepaskan ke habitat asal yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya.

Views:

1209
Kongsi :
Previous post TNB sasar 380,000 meter pintar di Melaka tahun depan
Next post Pesara guru rugi RM1.8 juta ditipu Macau Scam
Ubah saiz-+=