Tolong pulangkan katil boleh laras

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LINGGI 26 Sept – Katil boleh laras untuk kegunaan ramai wajib dipulangkan apabila seseorang pesakit sudah sembuh atau meninggal dunia.

Katil itu disumbangkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN).

Menjelaskannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Wira Ar Ismail Othman berkata, mereka yang menghadapi masalah kesihatan memohon untuk mendapatkan sumbangan katil boleh laras daripada pejabat berkenaan.

PETUGAS Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah mengagihkan kerusi roda kepada JAPERUN Kuala Linggi di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.

Bagaimanapun katanya, selepas sembuh mereka tidak mahu mengembalikannya sedangkan ia untuk kegunaan ramai.

“Sehubungan itu, sejak beberapa bulan lalu, JAPERUN Kuala Linggi membuat perjanjian dengan penduduk yang ingin mendapatkan katil itu, mereka harus mengembalikannya selepas sembuh atau sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan tiga unit katil boleh laras, selain kerusi roda (32 unit) dan tongkat kaki empat (10 unit) daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah yang disampaikan Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Norihan Bahari di JAPERUN Kuala Linggi, di sini.

Sumbangan yang sama turut diserahkan Norihan kepada JAPERUN lain dalam Parlimen Masjid Tanah, iaitu Ayer Limau, Tanjung Bidara, Lendu dan Taboh Naning.

Kelima-lima JAPERUN berkenaan turut menyediakan peralatan itu melalui peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing bagi meringkankan beban masyarakat yang perlu menggunakannya untuk menjalani kehidupan harian.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, seunit katil itu berharga lebih RM2,000 dan ia harus digunakan secara kolektif.

“…iaitu mengikut giliran siapa yang lebih awal mengemukakan permohonan dan harus dikembalikan selepas sembuh atau sudah meninggal dunia,” katanya.

Norihan berkata, pejabat berkenaan terpaksa berbuat demikian bagi memastikan katil berkenaan digunakan secara adil oleh mereka yang memerlukannya.

“Tidak adil jika katil itu disimpan sahaja di rumah sedangkan orang yang menggunakannya sudah sembuh atau meninggal dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

783
Kongsi :
Previous post Enam individu dikompaun rentas negeri melancong ke Pulau Redang
Next post Mulianya hati ‘Abang Aji Runner MT’…
Ubah saiz-+=