
TPM RASMI TABIKA KEMAS AUTISME AIR HITAM PANTAI ESOK
TANJUNG BIDARA 15 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Tunas Istimewa (Autisme) Air Hitam Pantai, esok.
Program turun padang oleh Timbalan Perdana Menteri itu, dianggap sebagai bersejarah memandangkan Melaka adalah negeri perintis di Malaysia menubuhkan Tabika Autisme menerusi KEMAS.
Selain Tabika KEMAS Air Hitam Pantai (daerah Alor Gajah) dua lagi kemudahan sama beroperasi di negeri ini adalah Tabika KEMAS Hang Jebat A (Melaka Tengah) dan Tabika KEMAS Merlimau Barat 2 (Jasin).
Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid berkata penubuhan tabika tersebut adalah antara hasrat utama bagi menjamin kecemerlangan akademik diusahakan Kerajaan Negeri dipimpin oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan selari dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan.
“Ketua Menteri amat menitikberatkan perkembangan pendidikan awal anak-anak autisme, justeru beliau bersama-sama kepimpinan Kerajaan Negeri mengusahakan perkara ini sehingga berjaya.
“Lebih bersejarah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan merasmikan Tabika KEMAS Tunas Istimewa (Autisme) Air Hitam Pantai, sekali gus menjadi simbolik kepada pelaksanaan program yang pertama seumpamanya di bawah Tabika KEMAS di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui selepas melakukan lawatan tapak Majlis Perasmian Tabika KEMAS Tunas Istimewa (Autisme) Air Hitam Pantai, di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS, Zairuddin Mat Zuini.
Sementara itu, Abdul Hakim turut menjemput orang ramai untuk bersama-sama hadir bagi memeriahkan lagi majlis perasmian bersejarah itu.
“Orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan majlis bersejarah ini, memandangkan Melaka merupakan negeri pertama di negara ini yang menubuhkan Tabika Autisme di bawah KEMAS,” tambahnya.
Untuk rekod, tiga Tabika Austisme atau Tunas Istimewa mula beroperasi pada 15 Julai lalu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM300,000 bagi penubuhan kemudahan yang khusus untuk kanak-kanak autisme di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.