Tuisyen Rakyat Melaka bantu calon SPM kurang mampu

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Aspek pendidikan menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri dalam melahirkan generasi berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Atas faktor itu, Program Tuisyen Rakyat diwujudkan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti kelas tambahan secara percuma.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hasrat tersebut telah disokong Yayasan Bank Rakyat dengan memperuntukkan RM100,000 untuk diagihkan kepada 10 buah sekolah di negeri ini bagi pelaksanaan program berkenaan.

“Saya amat mengalu-alukan dan menggalakkan lebih banyak organisasi di luar sana atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) tampil untuk turut menyokong inisiatif seumpama ini agar dapat membantu lebih ramai golongan yang memerlukan dan meningkatkan taraf pendidikan negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Future Tech Programme 2024 serta Penyerahan Program Tuisyen Rakyat Negeri Melaka Bagi Tahun 2024 di Hotel MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah; Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad.

Pada majlis itu, Ab Rauf menyempurnakan simbolik penyerahan replika cek kepada 10 sekolah terlibat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat; SMK Hang Kasturi; SMK Seri Pengkalan; SMK Kampung Gelam; SMK Tun Mutahir; SMK Tun Haji Abd Malek; SMK Padang Temu; SMK Sungai Rambai; SMK Seri Mahkota dan SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakob.

Sementara itu, Pengetua SMK Rahmat A. Halim Mat Ali merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Yayasan Bank Rakyat yang memilih sekolah berkenaan bagi pelaksanaan program Tuisyen Rakyat.

Menurut beliau, program membentuk kecemerlangan pelajar itu menunjukkan bahawa Ketua Menteri merupakan seorang pemimpin yang begitu prihatin terhadap bidang pendidikan, khususnya membabitkan kecemerlangan akademik.

“Alhamdulillah dengan adanya program ini, kami di peringkat sekolah dapat mengadakan pelbagai aktiviti untuk pelajar selain merangsang kecemerlangan akademik untuk 211 calon SPM di sekolah ini pada sesi 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

160
Kongsi :
Previous post Pelajar Melaka dalami pendidikan digital, robotik
Next post RM114.1 juta perkasa sektor pendidikan Melaka
Ubah saiz-+=