Tumpahan minyak: 200 meter kawasan paya bakau terjejas teruk

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 14 Okt. – Kira-kira 200 meter kawasan paya bakau di Tanjung Tuan terjejas teruk akibat tumpahan minyak di perairan itu yang turut membabitkan Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.

Akibat kejadian itu, perairan berkenaan kira-kira 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi bertukar hitam dan kesan tumpahan minyak turut kelihatan sehingga hingga ke pantai Tanjung Tuan serta Teluk Kemang.

Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka Asmahani Ab. Manan berkata, pihaknya telah menjalankan kerja-kerja persampelan di kawasan pantai yang tercemar bagi mengenalpasti punca tumpahan minyak itu.

“Melaka kena teruk sebab melibatkan kawasan paya bakau, apa yang kita nampak sekarang ini dalam 200 meter di kawasan pantai ini tercemar.

ANTARA kerja pembersihan yang dilakukan di Tanjung Tuan.

“Kita suspek puncanya dari pemilik kapal, cuma pemiliknya masih dalam siasatan kerana perlukan sampel dari tangki minyak mereka dan selepas itu proses membuat pengecaman cap jari (finger printing),” katanya kepada MHI.

Katanya, pasukan JAS telah mengambil sampel minyak di pantai, namun untuk mendapatkan keputusan sampel minyak di tangki kapal ia memerlukan masa.

“Di pantai kita dah ambil sampel, tapi di kapal masih dalam proses dan selepas itu memerlukan masa dua minggu atau sebulan untuk dapatkan keputusan dari Jabatan Kimia.

“Bila melibatkan paya bakau kerja-kerja membersihkan pantai agak sukar, bagaimanapun kita dah mulakan kerja pembersihan serta mengaktifkan pelan tindakan pembersihan pantai,” katanya.

Agensi yang terlibat ialah Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, JAS Negeri Sembilan dan JAS Melaka.

Selain Jabatan Laut Malaysia (JLM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM.

Jelas Asmahani, kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 27, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan seksyen ini memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Untuk rekod, semalam JAS telah menerima laporan mengenai kejadian tumpahan minyak yang telah mencemarkan Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Tanjung Tuan, Melaka.

Views:

1483
Kongsi :
Previous post MPC bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka bantu perkasa strategi Melaka Lestari
Next post Wanita kantoi melacur diri didenda RM3,000
Ubah saiz-+=