Sorting by

×

MPC bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka bantu perkasa strategi Melaka Lestari

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 14 Okt. – Tiga inisiatif akan dibentangkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi membantu kerajaan negeri memperkasakan strategi Melaka Lestari menerusi Program Melaka Produktif di Hotel Ames pada 23 Oktober depan.

Menurut Pengarah MPC Wilayah Selatan Roziana Othman, tiga inisiatif itu merangkumi kepentingan tadbir urus dalam memacu produktiviti negara, kepimpinan untuk kecemerlangan bisnes dan inovasi serta peranan MPC dalam memperkasakan usahawan Negeri Melaka.

Menerusinya, ia akan membantu Kerajaan Melaka mengemaskini peraturan dan enakmen, memperkasa usahawan Melaka, mewujudkan Pelan Strategik Pendigitalan Negeri Melaka dan memantapkan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selaras dengan Pelan Pembangunan Digital yang digubal baru-baru ini.

“Termasuk beberapa lagi program yang disusun khas untuk membantu usahawan dan industri berikutan beberapa industri utama yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di mana transformasi digital perlu diwujudkan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kekangan yang dihadapi ketika ini terutamanya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong ketika penggunaan meluas teknologi digital dalam kalangan komuniti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kunjungan hormat ke Melaka Hari Ini (MHI) kelmarin.

Jelas Roziana, pihaknya telah bekerjasama dengan Kerajaan Melaka sejak 2017 melalui pelaksanaan Amalan Baik Peraturan (GRP) dalam mengemaskini peraturan dan enakmen melalui program pemetaan perundangan yang berjaya mengumpulkan semula semua senarai perundangan utama.

“Termasuk subsidiari yang terdapat di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti enakmen, undang-undang kecil, garis panduan, kaedah, perintah, peraturan dan lain yang berkaitan.

“Dan usaha ini telah menghasilkan Katalog Perundangan yang dapat mengenal pasti perundangan lapuk, bertindih dan tidak relevan yang boleh dimansuhkan dan ditambahbaik,” katanya.

Program yang dijangka berlangsung 23 Oktober itu, dijangka dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali dan Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.

Views:

888
Kongsi :
Previous post Kes COVID-19 global sudah melepasi 38 juta
Next post Tumpahan minyak: 200 meter kawasan paya bakau terjejas teruk
Ubah saiz-+=