Sorting by

×

Wanita kantoi melacur diri didenda RM3,000

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 14 Okt. – Seorang wanita berstatus janda dihukum denda RM3,000 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini selepas mengaku bersalah kerana melacurkan diri dengan mencari pelanggan menerusi aplikasi ‘MiChat’ minggu lalu.

Wanita berusia 35 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak itu didakwa mencari pelanggan bagi maksud persundalan di sebuah Hotel Bajet di Taman Melaka Raya pada jam 6.40 petang, 8 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia yang bekerja sendiri melakukan kegiatan tidak bermoral itu mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh dituduh membuat tawaran seks menerusi laman aplikasi Michat dengan menggunakan nama ‘Tina FL’ dan menawarkan perkhidmatan itu dengan bayaran serendah RM150.

Pemeriksaan lanjut dalam bilik hotel tersebut menemukan pelbagai barangan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pelacuran.

Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dalam hujahannya meminta hukuman setimpal diberikan meskipun tertuduh tiada rekod lampau manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh bagaimanapun, memohon hukuman terhadapnya dikurangkan atas alasan dia perlu menyara kedua ibu bapanya yang sudah uzur.

Muhammad Nazrin pada penghakimannya menetapkan hukuman denda RM3,000 serta empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Views:

1113
Kongsi :
Previous post Tumpahan minyak: 200 meter kawasan paya bakau terjejas teruk
Next post SK Kampung Gelam jadi ‘pengeluar’ atlet kriket Melaka
Ubah saiz-+=