SK Kampung Gelam jadi ‘pengeluar’ atlet kriket Melaka
PANTAI KUNDOR 14 Okt. – Melaka mampu menjadi antara negeri yang melahirkan atlet pelapis sukan kriket di negara ini pada masa akan datang.
Itu nada keyakinan disuarakan Ketua Jurulatih Kriket Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam Rahmat Shah Sekboon susulan tertubuhnya Pusat Pembangunan Kriket Kampung Gelam.
Dia yang juga berpengalaman menjadi guru Pendidikan Jasmani selama 13 tahun berkata, pusat berkenaan telah giat melahirkan atlet-atlet muda berbakat besar dalam sukan berkenaan sejak 11 tahun lalu dan kini masih serius dalam aspek pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
“Usaha saya membuka Pusat Pembangunan Kriket Kampung Gelam dan menjadi jurulatih bermula pada tahun 2009, iaitu 11 tahun lalu dengan bimbingan Melaka Cricket Association (MCA).
“Ketika itu hanya ada 14 pemain utama dan pelapis. Kelengkapan peralatan pula disumbangkan wakil rakyat pada masa itu. Kini, saya mempunyai sijil jurulatih level 1 daripada Malaysian Cricket Association di Akedemik kriket, Bandar Kinrara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, ujarnya buat masa ini dia telah melatih seramai 23 atlet di sekolah berkenaan dan tidak mengambil ramai pemain baharu pada setiap tahun susulan kekurangan jurulatih.
“Pada peringkat permulaan, ahli kelab ini adalah seramai 12 orang. Jurulatih yang ada sekarang pun adalah secara sukarela iaitu saya sebagai ketua jurulatih dan dua orang lagi pembantu jurulatih Sukuri Jarno dan Md Fauzi Taha.
“Pemain juga tidak dikenakan apa-apa bayaran yuran. Saya mengambil inisiatif ini bertujuan melahirkan atlet kriket yang berkualiti bagi Negeri Melaka. Saya juga tidak pernah berkira tenaga dan masa selama ini,” katanya.
Hasil usaha kerasnya bersama pembantu jurulatih serta warga SK Kampung Gelam dan pemimpin setempat, pusat berkenaan kini telah mengecap pelbagai kejayaan untuk Melaka.
Antaranya, berjaya melahirkan dua orang pemain yang kini tersenarai dalam skuad kriket Bawah 19 tahun negara iaitu Muhammad Amirul Syahmi Rahmat Shah dan Mohd Alif Edy Razlan yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
“Selain itu kita juga menjadi johan pasukan di Kejohanan Kriket bawah 12 tahun (U12) MSS Melaka tahun 2013, 2014, 2017, 2018 dan 2019 serta menjadi naib johan Kebangsaan Kejohanan Kriket U12 MSS Malaysia di Setiu, Terenganu tahun 2014.
“Tahun lalu, kita juga pernah muncul naib johan Plate kategori U12 dalam Kejohanan MSS Malaysia dan tempat ketiga peringkat kebangsaan dalam Kejohanan Champions School Kebangsaan U12 di Pusat Akademik Malaysia di Kinrara Oval yang mana anak bongsu saya, Muhammad Afiq Haziq Rahmat Shah, 10 muncul sebagai ‘The Best Bowler’ ketika itu,” katanya.
Jelasnya, kini boleh dikatakan hampir 70 peratus pemain di bawah kategori 12 tahun, 16 tahun, bawah 18 dan bawah 19 tahun serta kontinjen kriket SUKMA Melaka adalah datangnya daripada hasil produk Pusat Pembangunan Kriket Kampung Gelam.
“Apa pun, jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu pusat pembangunan ini sehingga sekarang. Mereka yang menghulurkan bantuan termasuklah Datuk Seri Utama Idris Haron; Datuk Wira Prof. Abu Bakar Md Diah; Datuk Nor Azman Hassan; Dr. Arash Khamis; Persatuan Kriket Melaka; Persatuan Kriket Malaysia; Sekolah Sukan Bukit Jalil serta ibu bapa, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Gelam,” katanya.