Pemilik premis mohon sebulan bersih dan lupuskan sisa toksik Tanjung Kling

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 14 Okt. – Proses pembersihan dan pengosongan tapak haram yang mengandungi tong sisa toksik dan bahan buangan terjadual di Kampung Pengkalan Perigi, Tanjung Kling dijangka mengambil masa sehingga sebulan untuk diselesaikan.

Penolong Pengarah JAS Melaka Asmahani Ab. Manan berkata, hal itu berikutan permohonan pemilik premis yang meminta proses pembersihan dan pelupusan sisa-sisa itu diberi lebih masa memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi.

“Kita dah beri arahan kepada premis untuk bersihkannya dalam tempoh seminggu. Tetapi pihak premis meminta untuk memberi lanjutan masa kerana ia melibatkan kos yang besar.

“Untuk proses pelupusan, biasanya melibatkan kos yang besar. Kos sebenar (pembersihan dan pelupusan) bukan dalam bidang kuasa kita, tetapi kita tahu ia akan mengambil masa.

“Jadi, kita jangka dalam tempoh sebulan ini, ia akan dikosongkan atau dibersihkan oleh pihak yang bertanggungjawab melakukan kesalahan tersebut,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak JAS kini sudah mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab melakukan kesalahan berkenaan,, namun tidak boleh mendedahkan butiran tersebut.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau memberi amaran keras kepada kepada pihak industri, kontraktor dan premis yang mengendalikan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual agar tidak mengambil jalan mudah sehingga menjejaskan alam sekitar dan penduduk sekitar.

“Amaran keras terhadap pihak industri, kontraktor dan premis yang mengendalikan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual supaya memastikan sisa toksik dan berbahaya diuruskan dengan betul dan mengikut lunas undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes di Tanjung Kling itu disiasat dalam pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara mandatori dan denda sehingga RM500,000.

Views:

574
Kongsi :
Previous post SK Kampung Gelam jadi ‘pengeluar’ atlet kriket Melaka
Next post Rasuah: bekas setiausaha politik bekas menteri didakwa esok
Ubah saiz-+=