Ukur suhu badan di dahi jamin ketepatan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PUTRAJAYA, 6 Ogos – Alat pengukur suhu badan harus digunakan di dahi bagi menjamin ketepatan bacaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata menggunakan alat pengukur suhu badan di tempat lain selain dahi boleh menyebabkan ketepatan bacaan suhu diragui.

“Orang ramai perlu patuh kepada cara  penggunaan alat mengukur suhu badan iaitu dengan menggunakannya di dahi bagi memastikan ketepatan bacaan suhu,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini belum ada laporan diterima mengenai kesan sampingan (penggunaan pengukur suhu badan di dahi) walaupun ada kebimbangan dalam kalangan masyarakat berhubung penggunaan peralatan berkenaan.

“Tidak ada bukti saintifik mengatakan (penggunaan pengukur suhu badan di dahi)  boleh sebabkan penyakit lain,” jelasnya apabila ditanya mengenai tindakan segelintir pihak menggunakan alat pengukur suhu badan di tangan.

Mengulas mengenai kajian pelitup muka guna semula bagi pelajar sekolah, beliau menjelaskan pihaknya telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghasilkan pelitup muka fabrik yang boleh dibasuh.

“Sebagai contoh setiap pelajar diberi fabric face mask, satu pakai dan satu lagi dicuci. Itu  adalah konsep. Kalau  kita boleh dapatkan cukup pelitup muka fabrik itu ,mungkin satu cara kita boleh galakkan rakyat Malaysia pakai pelitup muka,” kata Dr Noor Hisham yang turut memaklumkan terdapat satu NGO telah tampil untuk menderma sejuta pelitup muka fabrik.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pelitup muka fabrik mesti mempunyai tiga lapisan seperti mana disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pelitup muka yang kain satu lapisan, KKM tidak galakkan langsung,” katanya. – BERNAMA

Views:

965
Kongsi :
Previous post Lelaki didenda RM2,000 anjing peliharaan serang wanita
Next post Sekolah kawasan Masjid Tanah terima kit COVID-19
Ubah saiz-+=