Lelaki didenda RM2,000 anjing peliharaan serang wanita

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 6 OGOS – Angkara cuai hingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang wanita, seorang lelaki didenda RM2,000 Mahkamah Majistret Ayer Keroh, baru-baru ini.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Sea Hai, 43, selepas dia membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan cuai membiarkan anjing peliharaannya mencederakan seorang wanita berusia 23 tahun dalam kejadian dihadapan sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, kira- kira jam 9.30 malam, pada 27 Julai 2020.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Surendran Chelvarajah, merayu kepada mahkamah agar hukuman ke atas anak guamnya dikurangkan kerana pada hari kejadian anjing terbabit sudah dirantai tetapi rantai besinya terputus menyebabkan ia lari keluar.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman memohon hukuman berat dikenakan kerana insiden itu tular serta perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat luar.

Selepas mendengar hujah kedua- dua pihak, Mohamad Izwan kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 atau dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

Mahkamah kemudian turut mengarahkan anjing terbabit diserahkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk tindakan lanjut.

Views:

326
Kongsi :
Previous post Luqman Hakim sah milik KV Kortrijk
Next post Ukur suhu badan di dahi jamin ketepatan
Ubah saiz-+=