Sekolah kawasan Masjid Tanah terima kit COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

LENDU, 6 Ogos – Kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd. telah mengagihkan kit COVID-19 kepada 51 buah sekolah di kawasan Masjid Tanah.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md. Ali berkata kit COVID-19 itu turut akan diagihkan ke 300 sekolah di negeri ini bagi memastikan kakitangan terutamanya golongan pelajar berada dalam keadaan selamat di sekolah.

“Saya dimaklumkan sebanyak 51 buah sekolah di kawasan Masjid Tanah ini akan menerima kit COVID-19 yang mengandungi pelitup muka dan hand sanitizer.

“Kit COVID-19 ini akan diserahkan kepada keseluruhan 300 buah sekolah di seluruh negeri Melaka bagi membantu sektor pendidikan dari segi penyediaan kit bantuan COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Kit COVID-19 Sekolah-Sekolah Kawasan Masjid Tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Rahmad Mariman serta Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd. Datuk Radhuana Salleh.

Tambahnya, dengan adanya bantuan kit tersebut, ia akan menggalakkan golongan pendidik serta pelajar supaya lebih proaktif dalam menyekat penularan COVID-19.

“Penyerahan bantuan kit COVID-19 ini bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan dan mempertingkatkan kesedaran masyarakat dalam kalangan pendidik serta pelajar sekolah supaya sentiasa menjaga kebersihan, sekali gus menyekat penularan wabak COVID-19 yang di saat ini masih di tahap pemulihan,” katanya.

Views:

993
Kongsi :
Previous post Ukur suhu badan di dahi jamin ketepatan
Next post 25,000 tempahan hotel sehingga Disember
Ubah saiz-+=