25,000 tempahan hotel sehingga Disember

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

LENDU, 7 Ogos – Kerajaan negeri menyasarkan lebih 25,000 tempahan hotel diterima di negeri ini sehingga Disember depan sebagai usaha merancakkan kembali ekonomi pelancongan Melaka.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md. Ali berkata, kira-kira 18,000 tempahan hotel dicatatkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan mulai 10 Jun lepas dan sehingga kini peratusan tempahan telah mencapai tahap memuaskan.

“Setakat ini terutama pada hujung minggu hampir kesemua hotel termasuk hotel mewah menerima tempahan hampir 100 peratus.

“Alhamdulillah semua ini semakin pulih, produk-produk pelancongan kita sudah kembali beroperasi secara normal walaupun pintu antarabangsa belum dibukan namun kita menerima sambutan hebat dari pelancongan domestik.

“Apapun saya mohon kepada semua pelancong luar yang datang ke Melaka, patuhilah SOP yang ditetapkan dan tolonglah bantu negeri ini supaya Melaka menjadi negeri selamat untuk didiami dan dikunjungi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Kit COVID-19 Sekolah-Sekolah Kawasan Masjid Tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Rahmad Mariman serta Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd. Datuk Radhuana Salleh.

Dalam program tersebut, sebanyak 51 bekalan kit COVID-19 telah diagihkan kepada setiap sekolah dalam kawasan Masjid Tanah menerusi kerjasama Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd. dengan membekalkan set pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan termometer.

Views:

368
Kongsi :
Previous post Sekolah kawasan Masjid Tanah terima kit COVID-19
Next post Zainuddin Pengarah JSJK Bukit Aman yang baharu
Ubah saiz-+=