UMNO Bahagian Masjid Tanah nafi kenyataan tular tolak Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

MASJID TANAH 22 Nov – UMNO Bahagian Masjid Tanah menafikan kenyataan tular yang menolak kemelut politik pelantikan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13.

Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika dihubungi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyifatkan tindakan fitnah pihak tidak bertanggungjawab memburuk-burukkan UMNO Bahagian Masjid Tanah.

“Itu semua fitnah, tidak benar sama sekali.

“Malah, saya telah memberikan penjelasan mengenai perkara itu dalam sidang media semalam dan UMNO Bahagian Masjid Tanah menyokong kepimpinan beliau (Sulaiman) sebagai Ketua Menteri yang baharu,” katanya.

Terdahulu, kenyataan media yang menggunakan kepala surat UMNO Bahagian Masjid Tanah bertajuk Menolak Pencalonan Datuk Seri Sulaiman Md Ali Sebagai Ketua Menteri ke-13 Yang Baru’ tular di media sosial hari ini.

Antara kandungan kenyataan itu termasuk UMNO bahagian itu terkilan tindakan tergesa-gesa pelantikan berkenaan tanpa ada perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Turut dinyatakan dalam kenyataan tersebut, pelantikan Sulaiman itu didalangi oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, kenyataan itu menyebut UMNO bahagian menolak pelantikan itu dan tidak teragak-agak mengusulkan kepada ADUN Tanjung Bidara iaitu Rauf kepada undi tidak percaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1340
Kongsi :
Previous post Polis Melaka rampas RM13.16 juta dadah tahun ini
Next post Najib bidas Kadir Jasin hina pengundi Melaka
Ubah saiz-+=