Universiti pertanian perlu ‘dihidupkan’ – Mohamad Sabu

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PAYA RUMPUT 12 Februari – Penubuhan universiti pertanian perlu diperkasa dan dihidupkan secara lebih meluas di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut beliau, universiti berasaskan pertanian isangat penting dalam memperkenalkan formula dan kajian baharu bidang pertanian, sekali gus membantu keterjaminan makanan di negara ini.

“Sebenarnya inilah tugas universiti. Saya secara peribadi mahu universiti pertanian itu dihidupkan semula.

“Dengan keadaan perubahan cuaca (climate change) yang berlaku di dunia sekarang, hal-hal keterjaminan makanan menjadi perkara serius yang dibincangkan di sidang-sidang seluruh dunia.

“Perubahan ini boleh dilihat yang mana negara sejuk seperti Kanada mencapai suhu panas sehingga 40 darjah celcius sehinggakan hutan-hutannya banyak terbakar, manakala negara seperti Arab Saudi pula turun salji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan sebuah kilang baja organik, di Krubong, di sini, hari ini.

Justeru katanya, bidang pertanian dan keterjaminan makanan kini menjadi perkara yang dipandang serius pemimpin-pemimpin seluruh dunia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, beliau secara berseloroh, turut meramalkan pemain industri pertanian dan penternakan bakal menjadi pilihan gadis-gadis di masa akan datang.

“Jika tahun 1960-an pilihan gadis ialah askar kerana isteri askar dapat elaun. Tahun 80-an, pilihan gadis-gadis ialah guru dan tahun 2000 ke atas mereka cenderung memilih jejaka yang bekerja sebagai supervisor di kilang-kilang.

“10 tahun lagi, orang yang buat kerja-kerja pertanian inilah yang akan menjadi pilihan gadis-gadis jelita,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2557
Kongsi :
Previous post Jualan Rahmah Tok Ajak ‘licin’ dalam 30 minit
Next post Jualan Rahmah Tok Ajak berbaloi-baloi
Ubah saiz-+=