Sorting by

×

UPTOWN FLEA TUN TEJA MAKIN BERSINAR

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PENGKALAN BATU 29 Julai – Lokasinya yang strategik dengan kepelbagaian aktiviti dan produk ditawarkan oleh peniaga menjadikan Uptown Flea Tun Teja semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengunjung serta pelancong termasuk yang datang dari luar dari Negeri Melaka.

Malah selepas lebih lima bulan beroperasi, tidak keterlaluan untuk mengatakan Uptown Flea Tun Teja kini setanding dengan Uptown Pahlawan Walk atau Uptown Klebang yang saban minggu dibanjiri pengunjung.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, bermula dengan cuma beberapa gerai, jumlah peniaga di Uptown Flea Tun Teja ketika ini melonjak kepada 50 orang.

“Alhamdulillah perancangan disusun MBMB untuk menjadikan kawasan ini sebagai pemangkin ekonomi setempat berjalan lancar, saya juga dimaklumkan oleh penganjur bahawa mereka masih menerima permohonan daripada peniaga yang berminat untuk bersama-sama memeriahkan Uptown Flea Tun Teja.

“Suatu ketika dahulu tapak ini pernah menjadi Bazar Aidilfitri terbesar di Melaka dan tidak mustahil fenomena itu akan berulang, selain datang untuk berbelanja pengunjung juga dapat bersantai dengan menyaksikan suasana malam yang dihiasi keindahan cahaya lampu dari Jejantas Tun Teja,” katanya.

Menurut Shadan, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) MBMB bukan sahaja bertanggungjawab memastikan kebersihan, keceriaan dan keindahan kawasan pentadbirannya, tetapi turut memainkan peranan dengan membantu merancakkan ekonomi setempat.

Shadan berkata, bagi mempromosikan lagi Uptown Flea Tun Teja, pihaknya sedang mengatur pelbagai aktiviti termasuk Perhimpunan Hot Wheels dan larian bersempena sambutan Kemerdekaan pada Ogos.

Sementara itu, penganjur Uptown Flea Tun Teja, Asrul Firshaq Rasul berkata, meskipun menerima banyak permohonan baharu dalam kalangan peniaga, namun proses pemilihan perlu dilakukan bagi melihat kesesuaian lokasi perniagaan serta produk makanan atau jualan yang ingin dibawa.

“Maklum balas yang kami terima dalam kalangan peniaga amat positif malah turut dimaklumkan jualan mendapat sambutan apabila setiap minggu ada pertambahan bilangan pengunjung.

“Kami juga turut menerima peniaga dari Eye On, setakat ini seramai 11 orang sudah beroperasi dan ada yang masih dalam permohonan untuk sama-sama mencari rezeki di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post MPHTJ GIAT LAKSANA OPERASI KUTIPAN CUKAI TAKSIRAN
Next post BERAS MELAKA FASA KEDUA DIJANGKA DIPASARKAN BERMULA OGOS