
UPTOWN TUN TEJA RANCAKKAN AKTIVITI PERNIAGAAN
DUYONG 19 Julai – Uptown Flea Tun Teja di Taman Cempaka kini semakin meriah apabila mengumpulkan hampir 50 peniaga beroperasi pada setiap hujung minggu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, peningkatan jumlah peniaga di situ adalah susulan kemeriahan yang diterima sejak kawasan itu yang dahulunya suram dihidupkan semula.
Katanya, pada awal pembukaan ‘uptown’ berkenaan, hanya empat peniaga menjalankan perniagaan, namun kini kawasan itu berkembang dengan hampir 50 peniaga beroperasi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan mendapat sokongan penuh MBMB.
“Hasil tinjauan MBMB di situ mendapati peniaga menyambut baik inisiatif ini dan bersyukur menerima kunjungan pelanggan yang konsisten, khususnya pada hujung minggu.
“Malah premis perniagaan sekitar yang sebelum ini tutup awal, kini beroperasi sehingga 12 tengah malam, ini antara bukti manfaat dan limpahan ekonomi yang diterima daripada pembukaan Uptown Flea Tun Teja kepada keseluruhan ekosistem perniagaan di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Langkah Sihat Bersama Komuniti Mini Karnival Taman Bandaraya Bukit Serindit Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, di sini, hari ini.
Program tersebut turut dihadiri, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Mengulas lanjut, Shadan berkata, meskipun terdapat pandangan berbeza dalam kalangan penduduk dan peniaga premis di kawasan tersebut, MBMB mengambil pendekatan adil agar manfaatnya dapat dinikmati semua pihak.
“Buat masa ini operasi Uptown Flea Tun Teja diteruskan seperti biasa setiap hujung minggu bermula Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.