USIM semarakkan agenda prosumer melalui pertanian dalam kampus

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

NILAI 1 April – Penanaman rock melon secara fertigasi di Jabatan Keselamatan Universiti Sains Malaysia (USIM) sejak Disember tahun lalu membuahkan hasil apabila 400 biji buah berkenaan bagi fasa pertama dituai baru-baru ini.

Penyelaras projek tanaman itu Rozaimi Kamaruddin berkata, simbolik proses tuaian hasil pertama rock melon itu disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan ia cukup berbaloi.

“Tanaman rock melon mengambil masa sekitar 75 hari dari hari pertama benih disemai untuk kita dapatkan saiz buah yang matang dengan kualiti isi dan rasanya yang manis apabila dipetik.

“Bagi hasil tuaian pertama ini berikan secara percuma kepada kakitangan USIM,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Strategik USIM, hari ini.

MOHAMED Ridza sempurnakan hasil tuaian pertama rock melon dari Laman Prosumerisme Jabatan Keselamatan.

Beliau berkata, susulan kejayaan penanaman itu pihaknya menyasarkan 10,000 poli beg rock melon dapat ditanam di dalam kampus menjelang akhir tahun ini.

“Tanaman rock melon ini menggunakan teknologi fertigasi terkini seperti penyemburan baja dan air secara automatik selain mendapat bimbingan dari usahawan alumni pertanian USIM dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan,” katanya.

Selain rock melon, USIM turut menggerakkan agenda ‘prosumerisme’ pertanian ini melalui tanaman nanas MD2 yang diterajui oleh Pusat Sukan USIM di dalam kawasan kampus.

Bermula Februari 2020, Pusat Sukan mengusahakan secara kecil-kecilan tanaman nanas MD2 itu melalui 1,000 pokok dengan sumber kewangan awal daripada sumbangan kakitangan USIM sendiri.

TIMBALAN Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mansor Othman kagum melihat saiz nanas MD2 dalam lawatan kerja beliau ke USIM baru-baru ini.

Menurut Pegawai Kanan Belia dan Sukan USIM, Nur Ekhmal Buhary yang juga ketua projek tanaman itu, objektif utama penanaman nanas MD2 adalah meningkatkan pendapatan warga USIM terutamanya golongan B40 dalam meneruskan kelangsungan hidup pasca pandemik global.

Katanya, selain itu ia bertujuan meningkatkan bilangan syarikat milik warga USIM yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selaku pencipta kerja dan menambah bilangan inkubator keusahawanan berasaskan prosumerisme di dalam USIM.

“Sehingga Mac kita jalankan beberapa siri kursus Asas Pra Pengenalan Tanaman Projek Prosumer Nanas MD2 dengan pembabitan 25 peserta.

“Selain itu bagi menggalakkan penglibatan jabatan lain di USIM, kita mengagihkan Kit Pemulaan Tanaman Nanas MD2 iaitu 50 sulur nanas beserta 10 beg tanah organik, poli beg dan baja kepada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) dan Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan (C4SS),” katanya.

NUR Ekmal menunjukkan sulur nanas yang akan disemai.

Sementara itu, Pusat Komunikasi Strategik USIM menjelaskan aktiviti pertanian dalam kampus itu bertujuan mempromosikan prosumerisme kepada warga kampus, iaitu bukan saja menjadi pengguna, malah pengeluar hasil pertanian.

Katanya, langkah mendedahkan warga kampus kepada bidang pertanian mampu membantu dalam menjamin kelestarian sumber dan mengurangkan kebergantungan sesuatu entiti terhadap sumber luar kerana diri sendiri kini mampu menghasilkan sendiri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

970
Kongsi :
Previous post Aplikasi Smart Parking boleh guna sehingga Oktober
Next post Tak mustahil kalahkan JDT: Zainal
Ubah saiz-+=