Tak mustahil kalahkan JDT: Zainal

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KETUA Jurulatih Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) Zainal Abidin Hassan percaya skuad kendaliannya mampu mencipta kejutan menentang juara Liga Super tujuh kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Meskipun rekod pertemuan tidak memihak skuad Hang Tuah apabila tewas tujuh kali dan dua seri dalam sembilan pertemuan terdahulu, namun beliau optimis barisan pemainnya musim ini mempunyai disiplin dan keazaman yang tinggi.

Ujarnya, keinginan untuk terus mempamerkan aksi cemerlang semakin kuat berikutan kedudukan pasukan di kelompok bawahan liga walaupun belum pernah tewas dalam lima perlawanan musim ini.

“Saya tidak nafikan JDT sebuah pasukan yang bagus dan kuat. Tetapi bagi saya kemenangan tidak mustahil untuk MUFC walaupun rekod kami tidak begitu baik dalam pertemuan terdahulu.

“Tiap-tiap tahun kami mempunyai barisan pemain berbeza, jadi saya harap pasukan yang ada ini tahu mereka bermain dengan siapa dan apa perlu dilakukan untuk memperbaiki kedudukan pasukan.

“Saya berharap mereka memberi sepenuh hati dan mengikut taktikal yang ditentukan dan paling penting tidak melakukan kesilapan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Hang Tuah, petang semalam.

Mengulas sama ada penyerang import keduanya Stefan Nikolic akan diturunkan dalam perlawanan penting itu, Zainal memaklumkan pemain itu masih belum cergas sepenuhnya.

Beliau bagaimanapun percaya, pemain kelahiran Montenegro itu akan kembali berlatih bersama pasukan selepas aksi menentang JDT nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

757
Kongsi :
Previous post USIM semarakkan agenda prosumer melalui pertanian dalam kampus
Next post Pengguna boleh bawa kes ke mahkamah, selain TTPM – Rosol
Ubah saiz-+=