Usul undi percaya, pelantikan Speaker tumpuan hari pertama persidangan Dewan Rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Pembentangan usul undi percaya dan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu antara tumpuan hari pertama persidangan Parlimen bagi Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov sebagai Perdana Menteri ke-10, terkandung pada nombor lapan Aturan Urusan Mesyuarat.

Ia bertujuan membuktikan beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung dua hari bermula hari ini, juga bakal menyaksikan Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah selain pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat terkandung pada urutan nombor dua dan lima.

Pada 2 Dis, media melaporkan Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

Menurut laporan media, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul disebut-sebut menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Azhar manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat selain bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dicalonkan PN untuk jawatan sama.

Turut tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini adalah pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet pertama 5 Dis lepas berkata persidangan Parlimen pertama itu juga akan membentang dan meluluskan peruntukan khas atau bajet mini bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1604
Kongsi :
Previous post Cuaca mendung, operasi SAR sembilan lagi mangsa tanah runtuh diteruskan
Next post JPS ramal banjir di Sungai Melikai, Mersing tengah hari ini
Ubah saiz-+=