Vaksin lalui proses penilaian sewajarnya, dipantau rapi selepas digunakan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Vaksin keluaran Pfizer-BioNtech adalah vaksin COVID-19 yang pertama diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mestilah melalui proses penilaian yang sewajarnya dan akan sentiasa dipantau dengan rapat setelah ia digunakan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin berkenaan diberi kelulusan pada 8 Januari lalu dengan nama Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection.

“Antara kriteria yang diteliti oleh PBKD dan NPRA adalah profil keselamatan vaksin, kualiti vaksin, dan vaksin yang mempunyai nilai efikasi yang baik untuk digunakan untuk semua rakyat Malaysia.

“Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat Malaysia dengan memantau dan meneliti semua ubat-ubatan termasuk vaksin yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Beliau berkata pendaftaran bersyarat itu diberikan bertujuan memberikan akses segera kepada vaksin COVID-19 semasa tempoh pandemik ini menggunakan ‘risk-based approach’ (pendekatan berasaskan risiko) tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Dr Noor Hisham berkata kriteria lain bagi membolehkan kelulusan bersyarat itu antaranya adalah vaksin telah berdaftar atau diberi ‘emergency use authorization’ (keizinan penggunaan semasa kecemasan) oleh badan regulatori negara pengeluar atau badan regulatori rujukan oleh PBKD atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Turut hadir menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin berkenaan ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pesawat Airbus 330-300 yang membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 mendarat pada pukul 10.07 pagi hari ini dan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin seluruh negara iaitu enam di Selangor, Johor (4), Kuala Lumpur (3), Pulau Pinang (2) dan satu di Putrajaya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Noor Hisham akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19, Rabu ini sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang digerakkan lebih awal daripada jadual asal.

 

#vaksincovid-19 #DrNoorhisham #Pfizer-BioNtech

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

278
Kongsi :
Previous post Penghantaran vaksin COVID-19 Pfizer-Biontech perlu rantaian suhu sejuk beku rapi
Next post Azizulhasni, Shah Firdaus kuasai kejohanan trek elit Victoria, Harrif gegar Turki
Ubah saiz-+=