Vaksin: Penggiat pelancongan Melaka tak boleh tunggu lama

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 30 Jun – “Kita tak boleh tunggu sektor pelancongan dibuka baru hendak vaksin semua pemain industri pelancongan.

“Contohilah Phuket yang sudah memberi vaksin kepada semua yang terlibat dalam pelancongan dan mereka boleh beroperasi semula bermula Julai.”

Demikian luahan Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) Madeline Kuah Wey Lee mengenai kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan pemain industri pelancongan bukan dalam kategori yang layak diberi keutamaan untuk menerima vaksin.

MADELINA

Madelina ketika dihubungi Melaka Hari Ini merayu agar pihak berkaitan menggunakan budi bicara dalam pengagihan vaksin kepada seluruh penggiat sektor pelancongan negeri ini, memandangkan Melaka sebuah negeri pelancongan yang paling terkesan sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Kita perlu bersedia awal, tidak boleh lagi tunggu sehingga November kerana apabila gelembung perjalanan dibenarkan, industri pelancongan boleh bermula.

“Jadi semua yang terlibat dengan pelancongan termasuk pengusaha dan pekerja restoran yang dikategorikan sebagai pelancongan makanan perlu divaksin lebih awal, kalau boleh bermula seawal Ogos,” katanya.

Mengulas lanjut, Madelina berkata, di Melaka, terdapat kira-kira 21,000 penggiat industri pelancongan yang masih aktif termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta pengayuh beca, di mana jumlah itu bukanlah sesuatu yang besar dan sukar untuk diusahakan dengan kapasiti vaksin yang diterima kini.

“Di pihak persatuan, kita sudi membantu menyediakan segala maklumat yang diperlukan sama ada data dan sebagainya, asalkan program vaksinasi membabitkan pemain industri pelancongan ini diberi perhatian,” katanya lagi.

 

GOH HOCK GIN. Foto -fail.

Sementara itu, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka turut meminta kerajaan negeri campur tangan dalam isu pemberian vaksin membabitkan pemain industri pelancongan.

Presidennya, Goh Hock Gin berkata, Melaka perlu melakukan inisiatif sendiri dengan mencontohi Sabah dan Sarawak yang sudah memulakan program vaksinasi membabitkan penggiat pelancongannya.

“Kita kecewa kerana kita tidak boleh tunggu sektor pelancongan dibuka baru hendak diberi vaksin.

“Kita mesti cari jalan sendiri bermula sekarang memandangkan Melaka negeri pelancongan dan semua pemain industrinya juga dikira sebagai ‘frontliner’.

“Nak menunggu sehingga September atau Oktober bagi saya itu sudah terlalu lama kerana industri pelancongan kini sedang nazak ibarat seperti kami berada di dalam ICU (unit rawatan rapi),” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post Tiada kenaikan yuran pengajian IPT- Noraini
Next post Berhenti minta anak saya ! – Siti Azimah
Ubah saiz-+=