Wajah Malaysia yang berjaya

Masa Membaca:5 Minit, 8 Saat

DEWAN Za’ba Kementerian Pendidikan Tinggi penuh sesak dan bergema dengan suara pimpinan mahasiswa serta mahasiswi dari seluruh negara dalam sesi Townhall AUKU pada 6 April baru-baru ini. Pokok persoalan yang dibincangkan oleh pelapis negara masa hadapan ini masih sama. Satu kelompok mencadangkan agar AUKU dimansuhkan. Kelompok satu lagi, yang mewakili sebilangan besar mahasiswa, mahukan AUKU dipinda sesuai dengan tuntutan zaman.

Adakah AUKU wajar dikekalkan dengan pindaan? AUKU harus dikekalkan dengan pindaan dan pertukaran nama? atau AUKU digantikan dengan Akta yang baharu?

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak dua kali sewaktu dialog bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 7 April dan Dialog Anak Muda Temu Anwar pada 19 Mac 2023 lalu, telah merumuskan AUKU masih relevan dan pendirian Anwar yang juga bekas aktivitis dan pimpinan pelajar, menjelaskan kesediaan pihak Kerajaan untuk meminda AUKU mengikut kesesuaian.

Polemik mansuh AUKU dinoktah dengan pindaan

Polemik memansuhkan AUKU perlu dinoktah dan dihentikan. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut memberi komitmen, pindaan Akta AUKU 1971 dan Akta UiTM 1976 akan dilakukan setelah sesi libat urus dengan pemegang taruh, dengan berunding, berbincang, bertoleransi, berkolaborasi dan mengkaji semua aspek yang perlu dipinda khususnya berkaitan kebebasan pelajar. Antaranya memberi lebih kuasa, kebebasan dan tanggungjawab kepada peranan MPP serta kesatuan pelajar. Ini bertujuan untuk membina kematangan, menambah ilmu dan merasai pengalaman serta membentuk nilai keperibadian unggul supaya mereka lebih bertanggungjawab serta berintegriti.

Tambahan, AUKU adalah Akta utama yang menjadi punca kuasa penubuhan dan tadbir urus 20 universiti awam untuk menyelenggara, mentadbir Universiti dan Kolej Universiti serta bagi perkara lain yang berkenaan dengannya. Ia juga menjadi punca kuasa yang menghubungkan akauntabiliti Institut Pengajian Tinggi kepada kerajaan dan masyarakat terbanyak. Malah melalui 44 seksyen terkandung di dalam AUKU, 32 daripadanya berkaitan tadbir urus dan Kementerian Pendidikan Tinggi, 1 peruntukan berkaitan staf, 4 peruntukan lain yang berkaitan (seperti nama akta, tafsiran dan sebagainya). Manakala 7 sahaja peruntukan yang berkaitan pelajar.

Antara kandungan AUKU yang sering mendapat publisiti dan perhatian adalah mengenai pelantikan LPU, NC dan TNC, MPP, kesatuan pelajar, aktiviti pelajar atau persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar (seksyen 15), pelajar atau pertubuhan badan atau kumpulan pelajar dilarang memungut wang (seksyen 15A) dan tatatertib pelajar (seksyen 16C).

Wajah Malaysia Berjaya Bermula Dengan Sistem Pendidikan Tinggi Negara dan Mahasiswa

Kehadiran dalam sesi pendengaran awam itu membuktikan bahawa mahasiswa sentiasa peka dengan isu dan perkembangan terkini yang berlaku, terutama berkaitan kebebasan mahasiswa, kuasa bersesuaian dan tanggungjawab terutamanya dalam memperjuangkan agenda mereka.

Proses aktiviti sebegini amat penting untuk dilakukan, bagi kedewasan dan kematangan dalam meninggikan keperibadian nilai ‘karamah insaniah’ mereka.

Pertama, mendidik mahasiswa secara konsisten dan berterusan dengan mewujudkan iklim budaya keilmuan yang kondusif agar mereka berkompetensi ‘smart dan sharp’, selain meningkatkan keupayaan ilmu dan kemahiran ‘kalis masa depan’, demi kecemerlangan kepemimpinan mahasiswa. Pesan cendekiawan, ‘Ilmu bukanlah barangan yang digunakan untuk mengejar pencapaian, tetapi ilmu itu sendiri merupakan tujuan akhir suatu pencapaian.’

Dalam buku ‘’Why Nations Fail’ karya ahli ekonomi Daron Acemoglu dan James A. Robinson, mengupas perihal satu kawasan yang sama, tetapi berbeza kemajuannya, hanya kerana dipisahkan oleh pagar sempadan dua negara.

Satu; Nogales, Arizona berada dalam negara Amerika Syarikat, manakala sebahagiannya lagi, Nogales, Sonora, yang terletak dalam negara Mexico. Nogales Arizona Amerika Syarikat dikatakan lebih maju, pendapatan perkapita rakyatnya tinggi, tahap pendidikan penduduknya lebih berkualiti serta banyak peluang pekerjaan yang boleh diperolehi.

Bertentangan di sisi yang satu lagi, Nogales, Sonora, Mexico, yang pada ketika itu, pendapatan perkapita penduduknya lebih rendah, ramai anak-anak warganya tidak mendapat pendidikan sepatutnya dan kadar pengangguran juga agak tinggi.

Antara puncanya adalah faktor pendidikan. Pendidikan asas peningkatan kualiti hidup dan mobiliti sosial komuniti serta mahasiswa. Memperkasa mahasiswa melalui pendidikan berkualiti adalah jalan terbaik untuk mencapai matlamat tersebut. Komuniti akademik khususnya para pensyarah turut boleh memainkan peranan dalam menghasilkan mahasiswa yang berilmu, berkemahiran tinggi, berkualiti serta berfikiran smart dan sharp serta mempunyai peribadi yang unggul dan adab, melalui pendidikan di universiti.

Kedua, peranan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) harus diperkasakan. HEPA berperanan bukan sekadar menyelaras, membantu, membimbing, menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar, bahkan mengurus ehwal pelajar yang lebih besar, makro dan luas skop tugasannya. HEPA perlu memfokus kepada aspek pembangunan dan bakat pelajar, pemerkasaan mahasiswa secara holistik dan mandiri, melatih mereka dalam menguruskan program berkualiti dan berimpak tinggi, keusahawanan sosial serta inovasi, berkompetensi dan berkemahiran tinggi dalam kebohlehpasaran graduan serta budaya kepemimpinan nilai dan bercitra global.

Ketiga, usaha bersama atau concerted efforts bagi mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan orang ramai serta negara luar terhadap sistem pendidikan tinggi negara dan mahasiswa yang dihasilkan, melalui universiti tempatan, agar dapat ‘berdiri sama tinggi’, setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Gerak kerja dan peranan strategik ini haruslah diterajui terutamanya oleh pihak HEPA dan komuniti akademik, dengan melibatkan hubungan quadruple helix iaitu pemegang taruh yang relevan dan sesuai seperti Universiti, pihak Kerajaan, Industri dan Masyarakat untuk sama-sama berganding bahu, demi membimbing serta menghasilkan mahasiswa yang tinggi nilai sahsiah, jatidiri dan berjiwa komuniti serta alam sekitar, kreatif, inovatif, pintar, berintegriti dan berwatak lokal serta berminda global.

Biar mereka belajar sendiri, bukan hanya bersudut dalam lingkaran ‘digital natives, yakni kehidupan berpusat di alam maya dan secara digital, bahkan perlu bangkit membina kekuatan idealisme, intelektualisme serta aktivitisme mereka, dengan menimba pengalaman secara ‘turun padang’, merasai denyut nadi komuniti, bergelumang menterjemahkan ilmu kemahiran yang dipelajari di universiti kepada masyarakat, menikmati suasana manis dan pahit, matang, membesar serta dewasa dengan kejayaan dan kegagalan yang dilalui, sewaktu masih bergelar mahasiswa, yang akhirnya berupaya menyumbang kepada proses memanusiakan manusia.

Harapan sebeginilah yang dizahirkan dengan jelas oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, melalui 11 amanat utama dalam ucapan sulungnya pada perutusan tahun baharu 2023. Malah, dalam rumusan sesi pendengaran awam AUKU beberapa hari lalu, Menteri Pendidikan Tinggi turut merumuskan bahawa, sebenarnya matlamat kita untuk apa? Untuk membangun dan membina Malaysia Madani yang berjaya.

Justeru, kita perlu berusaha gigih melakukan yang terbaik. Semestinya, wajah Malaysia yang berjaya, bermula melalui sistem pendidikan tinggi negara dan pemerkasaan mahasiswa. Bak dimadah oleh Profesor Buya HAMKA, ‘kita besarkan keyakinan, kita teguhkan iman, kita percaya zaman mendatang penuh pengharapan.’

Profesor Madya Datuk Dr. Sabri bin Mohamad Sharif
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4175
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: SWM tumpu 89 lokasi di Melaka, elak longgokan sampah tidak terkawal
Next post Butik Rakyat Rahmah wajar jadi contoh di Malaysia
Ubah saiz-+=