Aidilfitri: SWM tumpu 89 lokasi di Melaka, elak longgokan sampah tidak terkawal

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 15 April – SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) memberi tumpuan khas operasi di 89 lokasi hotspot tong sampah berpusat di Negeri Melaka sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, fokus itu diberikan dalam usaha mengelakkan longgokan sampah yang tidak terkawal pada perayaan yang disambut tidak lama lagi.

Katanya, 89 lokasi hotspot itu merangkumi kawasan berkepadatan tinggi penduduk dan tumpuan pelancong membabitkan 53 lokasi di daerah Melaka Tengah, 15 di Alor Gajah dan 21 di Jasin.

“Operasi khas ini akan dijalankan bermula 17 April sehingga 24 April yang melibatkan 651 tenaga kerja dan 113 jentera pelbagai kegunaan.

“Selain kutipan tong sampah berpusat, SWM Environment turut memberi tumpuan kepada operasi berjadual sisa domestik dan pukal; operasi berjadual pasar awam serta pembersihan pusat bandar, pantai dan tempat awam,” katanya pada sidang media Strategi Operasi Hari Raya Aidilfitri dan Iftar SWM Environment Bersama Media 2023 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Beliau berkata, sempena Aidilfitri ini, janaan sisa pepejal dijangka akan meningkat iaitu mencecah lebih 250,000 tan seperti tahun lalu.

Oleh itu, ujarnya, pemantauan dan kutipan akan ditumpukan di setiap tong berpusat yang dikenal pasti mengikut cawangan operasi.

“Orang ramai disarankan agar mengamalkan kaedah pelupusan sisa pepejal dengan betul dan memanfaatkan perkhidmatan kutipan seminggu sekali membabitkan pelupusan sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula bagi mengelakkan longgokan sampah terutama di kawasan perumahan.

“Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, orang ramai juga digalakkan untuk menyertai kempen KITARecycle untuk peluang memenangi hampir 28,000 Recycle Point (RP) yang ditawarkan menerusi Jom KITARecycle, Jom Raya! dari 1 April sehingga 31 Mei 2023.

“Orang ramai boleh mendaftar sebagai ahli melalui aplikasi KITARecycle di Google Play dan Apps Store. Info lanjut mengenai program KITAReycle boleh didapati di https://kitarecycle.com,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1415
Kongsi :
Previous post Dataran Bandaraya jadi destinasi berbuka puasa Melaka – KM
Next post Wajah Malaysia yang berjaya
Ubah saiz-+=