
BELANJAWAN 2027: MELAKA HARGAI PERUNTUKAN, INISIATIF PEMBANGUNAN
AYER KEROH 9 Oktober – Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pengumuman pelbagai peruntukan dan inisiatif pembangunan menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bertemakan ‘Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi’, Melaka turut menerima lima projek khusus yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh berkata, projek berkenaan merangkumi pembangunan modal insan menerusi ‘Melaka Centre of Excellence’, pemulihan sungai dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai, perumahan rakyat di Paya Rumput, Pusat PERMATA Kurnia serta pembinaan balai polis baharu di Sungai Rambai.
“Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pengumuman pelbagai peruntukan serta inisiatif pembangunan, khususnya yang memberikan manfaat secara langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan sosioekonomi Negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Salhah berkata, Melaka Centre of Excellence akan memperkukuh pembangunan modal insan menerusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran dengan tawaran gaji yang lebih baik kepada anak Melaka.
Sementara itu, ujar beliau, projek pemulihan sungai dan RTB Sungai Rambai dijangka meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan banjir bagi mengurangkan risiko serta impak bencana terhadap keselamatan, kediaman dan kesejahteraan penduduk setempat.
“Di Paya Rumput, projek perumahan rakyat akan memperluas akses kepada kediaman yang lebih selesa dan mampu dimiliki, khususnya bagi memenuhi keperluan golongan yang memerlukan.
“Belanjawan 2027 turut merangkumi pembinaan Pusat PERMATA Kurnia di Melaka bagi menyediakan kemudahan pendidikan, intervensi awal, sokongan dan latihan khusus kepada kanak-kanak autistik.
“Selain itu, pembinaan balai polis baharu di Sungai Rambai akan memperkukuh prasarana keselamatan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepolisan kepada komuniti setempat,” katanya.
Menurut Salhah, Kerajaan Negeri turut mengambil perhatian terhadap pelbagai inisiatif nasional yang diumumkan, termasuk bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, pengukuhan perlindungan sosial, penambahbaikan kemudahan pendidikan dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Ini termasuk peningkatan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, selain pelbagai inisiatif kebajikan dan perlindungan sosial untuk pekerja ekonomi gig, termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing,” ujarnya.
Beliau berkata, jabatan dan agensi kerajaan negeri akan meneliti serta menyelaras tindakan susulan terhadap pengumuman Belanjawan 2027, khususnya berkaitan pelaksanaan projek dan inisiatif pembangunan di Melaka, berdasarkan mekanisme serta ketetapan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri Melaka akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama pentadbiran dengan Kerajaan Persekutuan berlandaskan kepentingan bersama, demi memastikan setiap peluang pembangunan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

