Wanita dikompaun kerana rentas daerah tanpa alasan munasabah- polis

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 27 Jun – Polis menegaskan kompaun RM5,000 dikenakan terhadap seorang jururawat wanita yang isunya ditularkan oleh seorang wakil rakyat menerusi sebuah portal berita semalam adalah wajar kerana pengadu telah merentas daerah di negeri ini tanpa alasan munasabah pada 13 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, wanita terbabit ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Angkasa Nuri Batu Berendam daerah Melaka Tengah pada tarikh berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan anggota polis bertugas mendapati wanita terbabit merentas daerah dari rumahnya di Taman Desa Idaman, Pekan Durian Tunggal ke lokasi SJR sejauh lapan kilometer.

“Apabila ditanya, wanita itu memberitahu tujuan rentas daerah ialah untuk ke rumah kakaknya di Taman Merdeka tanpa menyatakan untuk pergi ke Econsave mendapatkan barang keperluan harian walaupun boleh didapati di kawasan Pekan Durian Tunggal, Alor Gajah.

“Tindakan kompaun telah dikeluarkan terhadap perempuan tersebut di bawah Peraturan 4 (1)(peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021) kerana merentas daerah tanpa dokumen dan alasan munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihak polis menegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu tidak boleh rentas daerah tanpa alasan yang munasabah.

“Sekiranya Orang Kena Kompaun (OKK) tidak berpuas hati boleh mengemukakan rayuan kepada pegawai kesihatan Daerah Melaka Tengah untuk pengurangan bayaran kompaun.

“Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan barangan keperluan dalam radius 10 kilometer dari tempat kediaman masing-masing tanpa perlu rentas daerah.

“Pihak polis juga menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ditetapkan dan terus kekal di rumah jika tiada keperluan
untuk keluar semasa dalam tempoh PKP 3.0 ini,” katanya.

Semalam kira-kira jam 4.10 petang tular satu klip video di dalam laman sesawang Sin Chew Daily Melaka melibatkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang membidas tindakan pihak polis mengeluarkan kompaun kepada seorang wanita dari Taman Desa Idaman Durian Tunggal ke Enconsave Taman Angkasa Nuri untuk mendapatkan keperluan harian.

Dalam klip video tersebut telah menyatakan pergerakan individu tersebut adalah sejauh tujuh kilometer dan lokasi Econsave adalah terletak di kawasan Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post KPT rancang tambah 19 lagi PPV IPT- Noraini
Next post COVID-19: Bukan kilang ayam, tapi telur.
Ubah saiz-+=