Warga emas tabah jaga isteri sakit, anak OKU

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER LIMAU 28 Jun – Biarpun uzur, seorang warga emas, Tahir Mat Sali tetap menggagahkan dirinya untuk menjaga isteri yang menghidap penyakit kronik serta seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) lembam di rumahnya di Kampung Ramuan Cina Besar.

Tahir, 60, berkata, isterinya, Rokiah Ahmad, 61, menderita pelbagai penyakit kronik antaranya sakit jantung dan masalah paru-paru sejak sembilan tahun lalu dan sudah tidak mampu lagi bergerak serta mengurus diri dengan sempurna.

“Isteri tidak mampu lagi bergerak dan memerlukan bantuan sepenuhnya daripada saya untuk makan serta mengurus diri, jadi, saya tidak boleh kemana-mana untuk bekerja menyara keluarga.

“Sekarang ini, kami hidup hanya dengan pencet Ilat isteri berjumlah RM975 sebulan, mujurlah isteri pernah mencarum dengan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sewaktu bekerja di sebuah kilang dekat Selangor satu ketika dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis kunjungan Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin.

Kunjungan itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Manusia, Datuk Wira Ar. Ismail Othman dan disertai Pengarah PERKESO Melaka, Abd. Razak Omar.

TAHIR.

Kata Tahir, melalui wang pencen Ilat isterinya itu, dia dapat menyediakan kemudahan ubat dan keperluan kecemasan Rokiah pada setiap hari terutama untuk berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.

Katanya, dia pernah meminta bantuan jiran untuk membantu dirinya mengurus Rokiah kerana kerap sakit sebelah badan akibat terjatuh ketika mengambil upah membaiki bumbung rumah penduduk kampung yang rosak.

“Kesan daripada kejadian itu, bahagian sebelah badan kerap sakit dan ia menyebabkan saya sukar mengurus Rokiah seorang diri sehingga terpaksa meminta bantuan jiran, mujurlah jiran memahami dan dapat membantu,” katanya.

Menurut Tahir, inisiatif yang diambil oleh pihak PERKESO menyalurkan pelbagai bantuan peralatan perubatan kepada isterinya amat dihargai dan tepat pada masanya.

Sementara itu, menurut Ismail, usaha berterusan PERKESO dalam membantu menyalurkan bantuan kepada pencarumnya amat dihargai dan harus dicontohi oleh agensi lain dalam usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan.

“Inisiatif yang dipamerkan oleh PERKESO ini harus dipuji kerana agensi ini memilih untuk berkhidmat secara langsung kepada pencarumnya bukan setakat menunggu di pejabat menerima borang tuntutan sebaliknya mereka terus pergi mendapatkan pencarum yang amat mengharapkan bantuan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

655
Kongsi :
Previous post Perkeso Melaka mula bayar pencarum positif COVID-19 Februari lalu
Next post Korbankan cita-cita demi jaga bapa sakit
Ubah saiz-+=