Korbankan cita-cita demi jaga bapa sakit

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

SUNGAI UDANG 28 Jun – Ketika rakan sebayanya berjaya ‘menempah’ tempat di firma guaman selepas tamat pengajian di universiti, wanita ini sanggup mengorbankan kerjaya impiannya sebagai seorang peguam demi menjaga bapanya yang menghidap angin ahmar sejak empat tahun lalu.

Norafiqah Mohd. Shaufi, 27, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, Selangor itu memilih untuk menjaga dan menguruskan bapanya Mohd. Shaufi Yamin, 54, yang terlantar sakit bersendirian di rumah mereka di Jalan Seri Terendak.

Norafiqah.

“Kami cuma tiga beradik dan saya kakak yang sulung manakala ayah dan emak sudah lama berpisah.

“Jadi bila ayah sakit, saya perlu laksanakan tanggungjawab ini kerana adik kini bertugas sebagai anggota tentera manakala seorang lagi masih bersekolah di tingkatan satu.

“Tidak mengapa walau tak dapat kejar cita-cita sekarang, asalkan saya dapat urus ayah dengan baik kerana dulu masa ayah sihat, sudah banyak ayah berkorban untuk kami tiga beradik, kini giliran saya dan adik-adik pula balas jasa ayah,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Norafiqah ditemui sewaktu kunjungan Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Manusia, Datuk Wira Ar. Ismail Othman dan Pengarah PERKESO Melaka, Abd. Razak Omar.

Abd. Razak (kiri) menerangkan sesuatu kepada Ismail mengenai sumbangan yang disalurkan oleh Skuad PERKESO Prihatin sambil diperhatikan oleh Norafiqah.

Menurut Norafiqah, sejak diserang angin ahmar, bapanya kini terlantar sakit dan segala kos perbelanjaan perubatan bergantung kepada bayaran pencen Ilat PERKESO berjumlah RM1,233 sebulan.

“Selain ubat-ubatan, bapa juga memerlukan kemudahan lampin dewasa dan susu khas yang berharga RM40 setin untuk kegunaan sehari maka perbelanjaan mengurus keperluan bapa agak besar setiap bulan.

“Namun, mujurlah Skuad PERKESO Prihatin datang membantu dan menyumbang segala keperluan lampin dan susu khas yang diperlukan oleh bapa untuk beberapa bulan ini,” katanya.

Sementara itu, menurut Abd. Razak, sumbangan lampin dan susu khas kepada Mohd Shaufi merupakan komitmen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PERKESO dalam membantu pencarum yang memerlukan bantuan akibat ditimpa sakit atau kemalangan.

Menurutnya, Mohd. Shaufi antara usaha Skuad Prihatin PERKESO dalam mengesan mana-mana pencarumnya yang dikenal pasti terlantar sakit atau hilang upaya untuk disalurkan bantuan sewajarnya.

“Kita mahu meletakkan konsep baharu terhadap cara PERKESO bertindak iaitu tidak lagi hanya menunggu di pejabat dan memberi bantuan kepada pencarum.

“Sebaliknya hari ini, PERKESO melalui Skuad Prihatin akan ke lokasi-lokasi yang kita kenal pasti pencarum yang memerlukan, kita bawa borang dan terus membantu mana-mana pencarum yang memerlukan bantuan.

“Melalui usaha ini, bantuan segera dapat diberikan dan kita yakin lebih ramai pencarum akan mendapat manfaat dan faedah yang sewajarnya dinikmati oleh mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post Warga emas tabah jaga isteri sakit, anak OKU
Next post Bimbang trend kenaikan harga setiap minggu
Ubah saiz-+=