Bimbang trend kenaikan harga setiap minggu

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER LIMAU 28 Jun – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Manusia negeri, Datuk Wira Ar. Ismail Othman melahirkan kebimbangannya mengenai harga barangan keperluan di negeri ini yang menunjukkan kenaikan harga pada setiap minggu.

Menurutnya, corak kenaikan harga itu didapati meningkat pada setiap minggu berturut-turut bermula sebelum musim perayaan Aidilfitri lalu.

“Hampir setiap minggu laporan barangan yang disemak menunjukkan peningkatan harga. Walaupun barangan keperluan cukup, harga barang meningkat hinggakan banyak aduan diterima.

“Situasi ini perlu diatasi segera…kerajaan melalui kementerian berkaitan perlu kawal segera perkara ini kerana harga barangan semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pada majlis kunjungan Skuad PERKESO Prihatin ke rumah pencarum pencen Ilat, Rokiah Ahmad di Kampung Ramuan Cina Besar.

ISMAIL. Foto fail.

Menurut Ismail, kenaikan harga barangan asas seperti minyak masak amat membebankan orang ramai terutama dalam situasi pandemik Covid-19 yang amat menekan kewangan rakyat.

“Kita di peringkat negeri tidak dapat berbuat apa-apa dan tiada kuasa nak kawal peningkatan harga yang mendadak ini, jadi saya harap pihak kerajaan melalui kementerian dapat lihat semula perkara ini.

“Misalnya, harga minyak masak, jika dulu harga minyak masak lima kilogram dijual pada harga sekitar RM16 tetapi sekarang dijual pada harga RM32 sebotol, ia menunjukkan satu perbezaan harga yang sangat jelas dan tidak munasabah.

“Reda sedikit minyak masak, timbul pula sekarang harga telur gred A, naik sehingga RM13 berbanding sebelum ini hanya RM9 sahaja,” katanya.

Katanya, rakyat juga sudah muak dengan alasan pengeluar atau pembekal makanan yang mendakwa kenaikan harga barangan terlibat disebabkan peningkatan kos semasa yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

“Memanglah kita sudah ada subsidi minyak satu kilogram dan menjamin bekalan minyak tersebut mencukupi menampung keperluan rakyat.

“Tetapi kita perlu ingat, minyak satu kilogram ini juga dibeli oleh peniaga disebabkan harganya yang murah, jadi adakah ada jaminan bekalan minyak satu kilogram itu cukup untuk rakyat yang memerlukan?,” ujarnya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melalui pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) memperkenalkan program Harga Kawalan bertujuan menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu hingga lima kilogram (kg) tidak bersubsidi.

Menerusi program itu, harga minyak masak botol lima kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi paras RM30 sebotol.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post Korbankan cita-cita demi jaga bapa sakit
Next post PEMULIH: Pengusaha TASKA terima RM3,000, pengusaha kantin RM1,000
Ubah saiz-+=