Perkeso Melaka mula bayar pencarum positif COVID-19 Februari lalu

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER LIMAU 28 Jun – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka sudah membayar pencarum yang positif COVID-19 di negeri ini bermula Februari lalu.

Pengarah PERKESO Melaka, Abd. Razak Omar berkata, pihaknya menerima banyak tuntutan tersebut yang dibuat oleh pencarum melalui majikan masing-masing di bawah Skim Bencana Kerja Perkeso.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat memberi bilangan pencarum terlibat dan jumlah yang sudah dibayar ke atas tuntutan yang berjaya di bawah skim berkenaan.

“Tuntutan yang diterima daripada pencarum yang terlibat dengan kes COVID-19 agak besar dan ada sebahagiannya sudah dibayar bermula Februari lalu,” katanya pada program kunjungan Skuad PERKESO Prihatin ke rumah pencarum pencen Ilat, Rokiah Ahmad di Kampung Ramuan Cina Besar.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Manusia, Datuk Wira Ar. Ismail Othman

Menurut Abd. Razak, pencarum akan dibayar mengikut jumlah hari mereka diberi cuti sakit COVID-19, tempoh kuarantin disebabkan penyakit tersebut dan jumlah hari mereka dirawat di hospital sehingga disahkan negatif daripada virus tersebut.

Pada masa sama, beliau meminta majikan bertanggungjawab dan mendaftarkan caruman pekerja kepada pihak PERKESO bagi membolehkan pekerja mendapat faedah sewajarnya.

Ujarnya, kegagalan majikan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukkan undang-undang pekerja sedia ada demi melindungi hak pekerja.

“Saya harap pihak majikan dapat memberi perhatian serius berhubung perkara ini kerana kegagalan majikan mendaftarkan caruman pekerja merupakan satu kesalahan yang serius, lebih-lebih lagi, jika pekerja terlibat dengan bencana tempat kerja.

“Situasi ini akan lebih menjejaskan kepentingan dan hak pekerja, oleh itu, pada masa yang sama, saya harap pekerja dapat merujuk pendaftaran caruman masing-masing dengan PERKESO bagi memastikan majikan mereka mematuhi peraturan,” katanya.

Sementara itu menurut Abd. Razak, sebanyak RM326,150 telah dibayar kepada pencarum di bawah pencen Ilat dalam tempoh Januari hingga Mei lalu.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 223 kes pencen Ilat dikemukakan melibatkan pembayaran sebanyak RM532,006 kepada pencarum di seluruh negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1518
Kongsi :
Previous post ‘Saya reda… isteri dah lama tanggung kesakitan’
Next post Warga emas tabah jaga isteri sakit, anak OKU
Ubah saiz-+=