‘Saya reda… isteri dah lama tanggung kesakitan’

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

BACHANG 28 Jun – “Selama 28 hari sejak isteri ‘ditidurkan’ di wad unit rawatan rapi (ICU), saya dan anak-anak tak putus berdoa adanya keajaiban dari tuhan, namun hari ini saya reda dengan kehilangan yang amat berat ini.

“Apalah daya saya lagi, Allah SWT lebih menyayangi isteri dan kini tinggallah saya bersama empat anak yang masih kecil tanda kenangan bersama arwah.”

Demikian luahan bapa kepada empat anak Syarafuddin Ismail, 32, yang kehilangan isteri tercinta Siti Khadijah Nazri, 33, akibat jangkitan wabak COVID-19 tahap 4.

Syarafuddin ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka perbualan bersama isteri pada 9 Jun lalu adalah perbualan terakhir buat selamanya.

SYARAFUDDIN (baju hijau) bersama anak-anak tidak boleh menahan sebak atas pemergian isteri tercinta.

“Semalam waktu doktor telefon jam 6.30 petang, doktor beritahu tekanan darah arwah rendah berbanding kelmarin (Sabtu)… bila dengar macam tu saya dah boleh agak dan faham apa akan berlaku.

“Kemudian doktor hubungi lagi 10 minit lepas tu, nada kali ini agak tegas dia (doktor) suruh saya dan keluarga buat video call, masa tu saya tengok tubuh arwah dah diselimutkan dengan kain putih dan hanya wajah dia saja yang nampak.

“Misi (jururawat) suruh baca surah Yasin dan ajar arwah mengucap. Dalam jam 10 lebih tu saya bawa anak mandi… siap mandi saya tengok ada nombor hospital telefon dan saya terus hubungi semula kemudian doktor maklumkan isteri dah meninggal kira-kira jam 10.30 malam,” katanya dalam nada sayu ketika ditemui MHI di Tanah Perkuburan Bachang selepas pengebumian arwah Siti Khadijah pada jam 1 tengah hari tadi.

Katanya, dia reda atas pemergian Siti Khadijah kerana sudah terlalu lama arwah isterinya menangung kesakitan itu di hospital.

“Semalam saya dipanggil untuk datang ke Jabatan Forensik, saya naik motor dengan ayah dalam keadaan menggigil, namun saya cuba kuatkan juga diri.

“Saya tengok wajah dia di bilik pengecaman jenazah tu, saya terus usap kepala dia dan dapat lihat muka dia (arwah) sangat bersih.

“Masa tu saya nak nangis pun dah tak boleh, saya dah reda dengan pemergian arwah sebab dia dah lama bertarung nyawa.

“Saya tahu dia kuat sampai ke semalam disebabkan anak-anak, sebab itu dia mampu bertahan lagi,” katanya sebak.

GAMBAR kenangan arwah Siti Khadijah bersama anak-anak dan suami.

Katanya akan menjaga anak-anaknya sebaik mungkin kerana itu adalah amanah dah peninggalan terakhir dari arwah isteri.

“Saya pegang pesanan arwah supaya jaga anak-anak ini, Insya-Allah saya akan jaga sebaik mungkin.

“Walaupun kita memang tak boleh samakan kasih sayang ibu dengan kasih sayang seorang ayah, tapi ini amanah yang diberikan kepada saya,” katanya lagi.

ARTIKEL  BERKAITAN: ‘Tolong doakan isteri saya’  ‘Damailah Siti Khadijah di sana…’

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

604
Kongsi :
Previous post RM100 juta kepada penggiat seni dan karyawan
Next post Perkeso Melaka mula bayar pencarum positif COVID-19 Februari lalu
Ubah saiz-+=