‘Tolong doakan isteri saya’

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 25 Jun – “Kali terakhir kami berbual pada 9 Jun lalu apabila isteri buat panggilan video dengan saya dan rakan-rakannya. Saya sempat beri kata-kata semangat dan minta dia bersabar sebelum doktor terpaksa ‘tidurkan’ dia sampai sekarang.”

Demikian luahan Syarafuddin Ismail, 32, mengenai isterinya, Siti Khadijah Nazri, 33, yang kini ‘bertarung nyawa’ di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka selepas disahkan positif COVID-19 tahap 4.

Menurut Syarafuddin isterinya dimasukkan ke wad pada 31 Mei lalu dan setiap hari dia berdoa agar isterinya kembali sembuh seperti sedia kala.

PERBUALAN terakhir Syarafuddin dengan isterinya menerusi WhatsApp’ sebelum doktor ‘tidurkan’ Siti Khadijah.

“Sebelum itu (perbualan terakhir) doktor ada telefon dan beritahu terpaksa ‘tidurkan’ isteri untuk masukkan lebih oksigen dalam paru-parunya memandangkan oksigen dalam badannya terlalu rendah.

“Isteri juga sempat berpesan melalui mesej WhatsApp supaya menjaga anak-anak dan tunggu dia pulang serta mendoakan kesejahteraannya.

“Daripada nadanya, saya tahu isteri sangat sedih, malah dia berpesan supaya setiap hari buat sedekah solat Subuh untuk dia,” katanya dalam nada sebak ketika dihubungi di rumahnya di Kampung Gelam, Tanjung Kling, dekat sini.

Mengulas lanjut, Syarafuddin berkata, dia pasrah dan sanggup menunggu selama mana isterinya kembali sembuh.

“Anak hari-hari tanya bila mama mereka akan balik kerana rindu dan nak makan makanan yang sedap-sedap dimasak untuk mereka. Saya hanya mampu cakap mama tengah sakit dan doakan mama.

“Sejak isteri dirawat di hospital hingga sekarang segala urusan makan minum empat anak berusia 12, 11, 8 dan 6 tahun saya uruskan seorang diri.

“Saya bekerja sebagai pemandu lori setiap hari pergi kerja jam 8.30 pagi dan balik jam 5.30 petang. Anak-anak tinggal di rumah sendirian dan harapkan bantuan saudara terdekat serta jiran saja,” katanya lagi.

Bapa kepada empat anak ini terus berharap ada sinar buat isterinya sembuh kembali biarpun keadaan isterinya agak lemah pada ketika ini.

GAMBAR keluarga Syarafuddin semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Kelmarin, jam 10 malam doktor hubungi saya beritahu keputusan tambah darah isteri dah ‘OK’… ubat untuk tekanan darah pun dah dikurangkan dos, cuma untuk bantuan oksigen masih diberikan pada tahap 100 peratus.

“Doktor cakap oksigen dalam badan isteri ada peningkatan, cuma jika isteri tidak menggunakan lagi bantuan alat pernafasan baru boleh beri jaminan keadaan dia semakin baik.

“Paru-parunya dimasuki kuman yang agak teruk, jika oksigen tak sampai pada jantung, jantung boleh berhenti,” katanya yang turut merayu orang ramai mendoakan kesembuhan isterinya.

Syarafuddin diijabkabulkan bersama isteri pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Muhammad Fazriq berusia 11 tahun, Muhammad Syafi Khalish (8) dan Nur Syalia Khalilah (6), manakala seorang anak tiri Muhammad Farish Hairie (12).

Semua anaknya sebelum ini juga disahkan positif COVID-19 pada 4 Jun selepas mendapat panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hanya kuarantin di rumah sehingga 10 Jun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1942
Kongsi :
Previous post Polis Melaka kutip RM2.7 juta hasil kompaun pelbagai kesalahan
Next post Tempatan Food Bank Melaka bantu lebih 40 keluarga terkesan
Ubah saiz-+=