Polis Melaka kutip RM2.7 juta hasil kompaun pelbagai kesalahan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Sebanyak RM2.7 juta dikutip hasil 895 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan orang ramai mengingkari prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, daripada jumlah itu, RM1.6 juta diperolehi menerusi 562 saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam sekatan jalan raya (SJR) bergerak.

Katanya, antara kesalahan yang paling banyak dikesan, membabitkan kesalahan rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran dengan 328 kes direkodkan.

“Bagi kesalahan membuka operasi pusat hiburan dan kesalahan majikan tidak membenarkan pekerja menjalani ujian saringan COVID-19 masing-masing merekodkan 15 kes.

“Turut merekodkan jumlah kes sama adalah kesalahan melakukan aktiviti tanpa penjarakan sosial dan dua kes bagi kesalahan keengganan individu menjalani perintah kuarantin.

“Berikutan itu setiap pesalah dikenakan kompaun antara RM1,500 hingga RM10,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Dalam tempoh PKP 1.0 hingga 3.0, Razali berkata, lebih empat juta kenderaan diperiksa dalam SJR statik dan bergerak di seluruh Melaka.

Jelasnya, daripada jumlah itu sebanyak 8,034 kenderaan diarahkan berpatah balik kerana tidak memberikan alasan munasabah selain tidak mempunyai dokumen rentas daerah dan negeri tidak sah.

“Dalam tempoh sama, kita juga menerima lebih 551,000 permohonan rentas negeri namun 4,096 daripada permohonan itu ditolak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

877
Kongsi :
Previous post Tujuh lelaki disyaki ahli sindiket curi ternakan dicekup
Next post ‘Tolong doakan isteri saya’
Ubah saiz-+=