Tujuh lelaki disyaki ahli sindiket curi ternakan dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 25 Jun – Tujuh lelaki dipercayai terbabit dalam sindiket mencuri binatang ternakan untuk dijual bagi persiapan ibadah korban sempena Aidiladha diberkas minggu lalu.

Suspek berusia 21 hingga 53 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam beberapa serbuan di tiga daerah di negeri ini.

Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, suspek ditahan dalam serbuan sejak 16 Jun lalu selepas pihaknya menerima laporan kehilangan 16 ekor lembu dan kambing sejak awal bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

Katanya, ketika ditahan, polis turut menemukan dua lembu dipercayai dicuri dan dijual kepada pembeli untuk persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha bulan depan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan saki baki penjenayah yang dipercayai terbabit sindiket berkenaan.

“Semua suspek direman hingga Isnin serta 5 Julai ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sukri berkata, pihaknya menerima 16 kes kecurian haiwan ternakan dalam tempoh Januari hingga 24 Jun lalu.

“Kecurian itu membabitkan kehilangan 38 ekor lembu dan 10 ekor kambing milik penternak di sekitar daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

“Dalam tempoh tersebut, bulan Jun menunjukkan peningkatan yang ketara dengan kecurian lembu dan kambing sebanyak 16 ekor manakala Januari sebanyak 11 ekor, April (10) dan Mei (lima).

“Bagi Februari dan Mac masing-masing merekodkan tiga kehilangan binatang ternakan, yang keseluruhannya melibatkan kerugian kira-kira RM274,000,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan semua penternak lebih berhati-hati menjaga binatang ternakan masing-masing dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memasang pagar yang lebih kukuh selain sentiasa memberi perhatian kepada binatang ternakan serta mengelakkan ia berkeliaran bagi mengelakkan curi.

Katanya, semua pembeli dan penjual turut diingatkan agar berhati-hati dalam menjalankan urusniaga supaya tidak terlibat dengan hasil yang dicuri memandangkan masyarakat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha pada Julai depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post Bapa, anak sesak nafas
Next post Polis Melaka kutip RM2.7 juta hasil kompaun pelbagai kesalahan
Ubah saiz-+=