Bapa, anak sesak nafas

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KRUBONG 25 Jun – Seorang bapa dan anak perempuannya Orang Kelainan Upaya (OKU), dikejarkan ke Hospital Melaka selepas mengalami sesak nafas akibat kediaman mereka di Taman Krubong 1, di sini terbakar malam tadi.

Kejadian pada jam 8.15 malam itu menyebabkan bilik stor di bawah tangga rumah berkenaan musnah sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 8.20 malam sebelum enam pegawai dan 25 anggota dan sebuah jentera digegaskan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya difahamkan terdapat empat beradik termasuk kanak-kanak autisme berusia tujuh tahun di dalam rumah itu, sebelum bapa mereka pulang dari kerja tidak lama kemudian.

BAHAGIAN dalam kediaman mangsa di Taman Krubong 1 yang terbakar malam tadi.

“Bagaimanapun, ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, kesemua empat beradik sudah dibawa keluar oleh jiran manakala ibu mereka difahamkan turut tiada di rumah.

“Si bapa bertindak menyelamatkan seorang daripada anaknya yang berada di tingkat atas sebelum dipercayai sesak nafas akibat terhidu asap tebal,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, lelaki berusia 36 tahun itu dan anaknya kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka bagi rawatan lanjut dengan menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan pasukan forensik bomba sudah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.11 malam selepas memastikan api dipadam sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Ismail Abd Latip, 41, berkata, dia terdengar jiran sebelah rumah mangsa menjerit meminta bantuan dan memaklumkan kebakaran itu.

Katanya, ketika kejadian asap sudah memenuhi ruang luar rumah jiran yang terletak berhadapan dengan kediamannya.

“Saya segera menghubungi bomba dan ketika kejadian saya lihat anak sulung mangsa bertindak pantas keluar dari rumah yang terbakar itu dengan memanjat pagar sebelum meminta bantuan orang ramai.

“Ketika itu api sudah marak dan merebak ke ruang tamu dan kami jiran-jiran cuba memadamnya sebelum bomba tiba,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

633
Kongsi :
Previous post Polis buka kertas siasatan ahli politik dipercayai anjur program tanpa kebenaran MKN
Next post Tujuh lelaki disyaki ahli sindiket curi ternakan dicekup
Ubah saiz-+=