Tempatan Food Bank Melaka bantu lebih 40 keluarga terkesan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 25 Mei – Lebih 40 keluarga memerlukan menerima manfaat menerusi inisiatif Tempatan Food Bank Melaka yang diwujudkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan.

Penyelarasnya, Ali Hassan Ahmad Shamsudin, 38, berkata pihaknya menjadi orang tengah untuk menyalurkan sumbangan barangan keperluan kepada golongan yang terkesan.

ALI Hassan Ahmad

“Setiap hari saya menerima lebih 20 permohonan yang ingin dapatkan bantuan makanan harian, tapi kita cuba bantu mana yang mampu sahaja.

“Dalam dua minggu ni saja saya dah salurkan bekalan makanan seperti beras, susu, tepung, sardin dan lain-lain kepada lebih 40 keluarga.

“Di luar sana ramai yang terkesan, kena buang kerja dan hilang punca pendapatan, kalau bukan kita yang nak bantu, siapa lagi mereka nak harapkan. Kalau ada kemampuan kita bantulah dulu,” katanya kepada MHI.

Jelasnya, mereka yang ingin menyumbang barangan harian boleh hantar ke Kafe & Butik Cherry di Semabok untuk disalurkan kepada individu yang benar-benar memerlukan.

“Boleh hantar barang-barang kering, dalam tin, lampin atau apa sahaja yang sesuai.

Kami merayu, jangan hantar barang expired atau yang dah terbuka.

SUMBANGAN peribadi daripada individu bagi food bank tersebut.

“Jika ada antara kita yang tahu atau kenal keluarga yang tidak mampu ketika ini, boleh minta mereka datang ambil bantuan dari jam 10 pagi hingga jam 6 petang di kafe tersebut atau hubungi nombor di poster yang disediakan,” katanya lagi.

Katanya, inisiatif itu adalah hasil kerjasama dengan rakannya selaku Pengasas Tempatan Food Bank Melaka, Abdul Rasyid Rahman.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

988
Kongsi :
Previous post ‘Tolong doakan isteri saya’
Next post Syarat pembiayaan SPIN dilonggarkan, bantu usahawan informal
Ubah saiz-+=