Sorting by

×

Warga Indonesia gembira dibenarkan bekerja semula di Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KOTA LAKSAMANA 14 Jun – Sepanjang lebih dua tahun ketika seluruh penduduk dunia diselubungi pandemik COVID-19, ramai yang menderita akibat impak yang berlaku.

Turut merasa kesannya ialah seorang warga Indonesia dari wilayah Bengkalis,  Muhammad Ali Pandi yang sebelum ini hampir sembilan tahun bekerja sebagai buruh binaan dekat Batu Pahat, Johor.

Katanya, akibat pandemik COVID-19, dia terpaksa pulang dan menetap di kampungnya dekat Siak sekali gus dia kehilangan punca rezeki untuk isteri dan tiga anaknya yang masih kecil.

“Malah dekat kampung juga tidak mudah mendapat kerja dan upah sedikit yang diperolehi terpaksa saya catu demi memastikan keperluan keluarga mencukupi.

“Selama dua tahun, saya terpaksa bersabar menunggu hampir setiap hari arahan pemerintah (kerajaan) untuk buka pintu sempadan.

“Malah, ada sekali itu, mungkin terlalu teruja, saya terburu-buru meminjam wang dari rakan untuk membeli tiket kapal untuk ke Malaysia, walhal ketika itu pemerintah Indonesia masih belum membenarkan pintu sempadan dibuka,” katanya.

MUHAMMAD Ali

Muhammad Ali, 44, antara 200 orang penumpang kumpulan pertama dari wilayah Bengkalis, Indonesia yang tiba melalui feri Mulia Kencana 19 di Kompleks Imigresen, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) di sini, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Mereka merupakan penumpang dan juga kumpulan pelancong pertama dari wilayah Bengkalis ke Melaka sejak penutupan pintu sempadan pada Mac 2020 sebagai langkah mengekang penularan COVID-19 di Malaysia.

Pada awal Mac lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia sebagai sebahagian daripada peralihan ke fasa endemik.

Kata Muhammad Ali, sukar baginya untuk mengambarkan kegembiraan dan rasa syukurnya apabila dia dibenarkan untuk kembali bekerja semula di Malaysia.

“Terasa macam mimpi bila dapat jejak kaki semula di bumi Melaka, maklumlah tempohnya terlalu lama, dua tahun saya menunggu.

“Namun hari ini, Alhamdulilah, doa kita semua menjadi kenyataan, wabak COVID-19 juga sudah beransur pulih,” katanya.

Turut menzahirkan keterujaan, Muhammad Qairizat Hairul Sani, 26, yang tidak sabar untuk menziarahi ibunya yang terlantar sakit di Pusat Perubatan Hospital Putra.

MUHAMMAD Qairizat

“Ibu sudah hampir sebulan menerima rawatan di hospital dan saya tidak dapat menemani ibu kerana pintu sempadan di Bengkalis masih belum boleh dibuka.

“Jadi saya terpaksa menunggu dan berhari-hari berdoa agar saya dan ibu dapat dipertemukan.

“Insya-Allah, kalau tiada apa masalah, hari ini ibu sudah boleh pulang dan kedatangan saya hari ini ke Melaka untuk membawa ibu pulang ke Bengkalis,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

680
Kongsi :
Previous post Ayob Khan nafi pegawai JSJN terlibat edar dadah
Next post Pelancong dari Bengkalis selamat tiba di Melaka
Ubah saiz-+=